KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima satu laporan polis dan kini sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan serta melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.
Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan media oleh Ketua Polis Negara, IG Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, yang dikeluarkan pada Jumaat.
Menurut kenyataan tersebut, siasatan bermula susulan laporan yang diterima pada 26 Februari 2026, melibatkan dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan dan menjejaskan kestabilan negara, yang dikaitkan dengan seorang individu berpengaruh tempatan bersama agensi media antarabangsa.
“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti kesahihan dakwaan berkenaan serta peranan mana-mana pihak yang terlibat,” menurut kenyataan itu.
Kes ini disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun sekiranya disabitkan kesalahan, bagi mana-mana individu yang didapati melakukan aktiviti, secara langsung atau tidak langsung, yang memudaratkan demokrasi berparlimen.
Dalam pada itu, PDRM menegaskan siasatan masih diteruskan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes berkenaan demi menghormati prinsip keadilan jenayah serta tidak mengganggu proses siasatan.
“Kerjasama orang ramai amat dihargai bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara telus, adil dan menyeluruh,” jelas kenyataan itu.
Kenyataan media berkenaan dikeluarkan pada 27 Februari 2026 jam 9.45 pagi.
— Mynewshub


