Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Pernah tiba di rumah selepas memandu dari tempat kerja tanpa mengingati perjalanan yang dilalui? Atau menyiapkan tugasan hingga tidak sedar masa berlalu begitu pantas?
Menurut perkongsian oleh Public Health Malaysia (PHM), keadaan itu dikenali sebagai ‘Mu no Kyochi’, satu konsep daripada falsafah Jepun yang membawa maksud ‘keadaan tanpa minda’ atau state of nothingness.
Jelas PHM, walaupun istilah tersebut seakan-akan menggambarkan fikiran kosong, hakikatnya ia merupakan fasa prestasi puncak minda manusia.
“Dalam bidang psikologi moden, keadaan itu lebih dikenali sebagai flow state atau zon aliran. Apabila seseorang memasuki fasa ini, aktiviti di bahagian hadapan otak yang mengawal logik, perancangan serta kebimbangan akan diperlahankan buat sementara waktu.
“Hasilnya, suara kritikan diri dan rasa cemas menjadi senyap, sekali gus membolehkan individu fokus sepenuhnya kepada tugasan,” menurut PHM menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.
Menurut PHM lagi, dalam keadaan berkenaan seseorang turut bebas daripada gangguan ego dan tidak lagi memikirkan masa lalu atau masa depan, sebaliknya menumpukan perhatian sepenuhnya kepada saat sekarang.
“Apabila minda sedar berhenti mengganggu, memori otot dan minda separa sedar akan mengambil alih. Pergerakan menjadi lebih automatik, cekap dan tangkas,” jelasnya.
Bagaimanapun, PHM menegaskan gaya hidup moden yang sarat dengan amalan multitugas, gangguan mesej telefon serta penggunaan media sosial tanpa henti menyebabkan otak sentiasa berada dalam mod berjaga-jaga.
“Keadaan ini menjadikan minda terlalu bising dan akhirnya membawa kepada keletihan mental atau burnout,” menurut kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, orang ramai disarankan melatih semula otak dengan mengamalkan konsep satu tugasan pada satu masa atau single-tasking.
Antara langkah dicadangkan ialah menjauhkan telefon bimbit ketika bekerja, menumpukan perhatian kepada proses tanpa terlalu memikirkan hasil serta memberi ruang kepada diri untuk benar-benar tenggelam dalam tugasan.
“Kadangkala, ubat paling mujarab untuk otak yang penat adalah dengan berhenti memaksa diri untuk berfikir secara berlebihan,” menurut PHM. – MYNEWSHUB


