Oleh Mynewshub
JOHOR BAHRU – Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor (Royal Press Office) mengesan kewujudan beberapa akaun video palsu di platform TikTok yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memaparkan suara Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Ibrahim.

Menurut kenyataan rasmi Royal Press Office, kandungan video berkenaan disebarkan seolah-olah memetik suara Seri Paduka Baginda berkaitan tawaran bantuan kewangan bersempena Ramadan kepada orang awam.
Namun, suara yang digunakan adalah tiruan dan tidak pernah dikeluarkan oleh pihak Istana atau mana-mana saluran rasmi.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang kandungan di media sosial yang menggunakan nama atau suara tokoh diraja, terutamanya apabila melibatkan tawaran bantuan kewangan, pautan mencurigakan atau permintaan maklumat peribadi.
Royal Press Office turut memberi amaran bahawa akaun-akaun palsu seumpama ini sering dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab atau “scammer” bagi tujuan penipuan, termasuk mengarahkan mangsa menghubungi nombor tertentu atau mengklik pautan luar yang boleh membawa kepada kerugian kewangan.
Dalam kenyataan sama, pihak Istana menegaskan bahawa perbuatan menyamar dan menyalahgunakan identiti, lebih-lebih lagi menggunakan teknologi AI untuk meniru suara individu, merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang dan tindakan sewajarnya boleh diambil terhadap pelaku.
Orang ramai disaran mendapatkan maklumat hanya melalui akaun media sosial rasmi dan disahkan milik Istana atau agensi kerajaan, selain melaporkan segera kepada pihak berkuasa dan platform berkaitan sekiranya menemui kandungan mencurigakan di media sosial.— Mynewshub


