Oleh Mynewshub
JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa Stadium Sultan Ibrahim (SSI) bukan milik Johor Darul Ta’zim (JDT), seperti yang tular di laman sosial X baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, kenyataan yang dimuat naik oleh individu dikenali sebagai Syairul Syazwin adalah tidak berfakta, mengelirukan dan berpotensi mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat.
“Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut. Kenyataan itu adalah dangkal, tidak berfakta dan mengelirukan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, untuk penjelasan yang tepat dan berfakta, SSI adalah hak milik JDT yang berada di bawah naungan dan perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku pemilik JDT.
“Pembinaan stadium ini merupakan sebahagian daripada visi strategik Pemangku Sultan Johor dalam membangunkan ekosistem sukan bertaraf dunia di Johor,” jelasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa JDT berperanan sebagai entiti profesional yang mengurus dan membangunkan pasukan termasuk aspek teknikal, prestasi pemain, pembangunan bakat serta pengurusan kelab secara keseluruhan.
Dalam masa sama, bagi memastikan tadbir urus stadium dilaksanakan secara berstruktur dan profesional, Pemangku Sultan Johor memberikan kepercayaan dan kuasa kepada Perbadanan Stadium Negeri Johor (PSNJ) untuk mengawal selia operasi harian stadium.
“PSNJ bertanggungjawab merancang dan melaksanakan penyelenggaraan berkala, mengurus aspek keselamatan, fasiliti, logistik serta penganjuran acara, selain memastikan stadium berada pada tahap terbaik untuk perlawanan domestik dan antarabangsa,” katanya.
Tambah beliau, model pengurusan tersebut menunjukkan pemisahan peranan yang profesional dan berkesan, di mana JDT memberi fokus sepenuhnya kepada prestasi pasukan dan kejayaan kelab, manakala PSNJ bertanggungjawab terhadap pengurusan serta penyelenggaraan stadium.
“Pendekatan ini selari dengan amalan terbaik kelab-kelab elit dunia dan menjadi antara faktor utama kejayaan berterusan JDT di peringkat nasional dan antarabangsa,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mohd Hairi menegaskan bahawa kenyataan individu berkenaan adalah tidak benar, tidak berasas dan bersifat spekulatif serta wajar dihentikan agar tidak terus mengelirukan rakyat Johor.
“Saya menyeru semua pihak, khususnya penulis dan pempengaruh media sosial, supaya lebih bertanggungjawab, menyemak fakta dan tidak membuat kenyataan rambang yang boleh mencemar reputasi institusi sukan negeri serta kepimpinan Negeri Johor,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri Johor kekal komited memastikan SSI terus diurus secara profesional dan berintegriti serta kekal menjadi kebanggaan rakyat Johor dan simbol kecemerlangan sukan negeri. – MYNEWSHUB
Sumber: FB Hairi Md Shah


