Oleh Mynewshub
JOHOR BAHRU – Johor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi utama industri berteknologi tinggi apabila menerima pelaburan strategik bernilai RM900 juta daripada Longda Group, sebuah syarikat berteknologi tinggi yang terlibat dalam rantaian bekalan global industri aeroangkasa, tenaga dan kejuruteraan berat.
Pelaburan tersebut dijangka mewujudkan lebih 300 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, khususnya untuk anak muda Johor.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, memaklumkan bahawa semasa lawatan kerja ke China sebelum ini, beliau bersama delegasi Johor berkesempatan meninjau sendiri operasi Jiangsu Longda Superalloy, yang menjadi teras teknologi kumpulan tersebut.

Menurut beliau, pertemuan rasmi bersama Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Longda Group, Pu Yilong, memberi tumpuan kepada kemajuan pelaksanaan projek di Johor termasuk garis masa pembinaan, pematuhan piawaian teknikal serta pelan pembangunan operasi jangka sederhana dan panjang.
“Longda memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan aeroangkasa global dengan membekalkan superalloy berketulenan tinggi bagi komponen ‘hot-section’ enjin pesawat untuk kegunaan komersial dan pertahanan,” katanya.
Tambah Onn Hafiz, keupayaan tersebut disokong oleh ekosistem penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang komprehensif merangkumi institut aloi suhu tinggi, pusat teknologi serta pangkalan penyelidikan pasca-doktoral, sekali gus membuka ruang pemindahan teknologi dan kepakaran kepada tenaga kerja tempatan.
Projek ini turut memberi penekanan serius terhadap pembangunan modal insan melalui kerjasama strategik bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Seramai 30 graduan tempatan akan dipilih untuk menjalani latihan industri di ibu pejabat Longda di China, dengan kumpulan pertama melibatkan tujuh graduan dijadualkan berlepas pada 2 Mac.
Selain itu, satu lagi pengambilan melibatkan 30 graduan dirancang pada tahun-tahun akan datang bagi membina bakat Johor dalam bidang teknologi aloi berprestasi tinggi.
Onn Hafiz turut merakamkan penghargaan kepada Longda Group atas keyakinan dan komitmen memilih Johor sebagai destinasi pelaburan strategik.
“Kerjasama ini bukan sahaja membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada anak Johor, malah menyokong pembangunan bakat tempatan secara mampan dan berterusan. Insya-Allah, Johor akan terus melangkah ke hadapan sebagai hab industri berteknologi tinggi serantau,” katanya.-MYNEWSHUB
