KUALA LUMPUR – Suami kepada selebriti dakwah, Heliza Helmi, Datuk Mahadi Badrul Zaman, merayu supaya dibebaskan dengan jaminan selepas didakwa menjalankan aktiviti perdagangan sekuriti tanpa lesen, atas alasan bimbang janggutnya akan dipotong sekiranya ditahan.
Peguam bela, Datuk Mohd Zamri Mohd Idrus, memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen bahawa penahanan tersebut boleh memberi kesan kepada Mahadi, termasuk kemungkinan janggut panjangnya dipotong dalam tahanan.
Menurutnya, Mahadi juga telah memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan dan tidak berisiko melarikan diri.
Tambah beliau, tertuduh yang turut terlibat dalam pengurusan jemaah umrah menanggung ibunya yang menghidap kanser selain menjaga keluarga mentua.
Terdahulu, Mahadi, 43, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berniaga dalam sekuriti tanpa lesen melalui syarikat AUF MBZ Consortium PLT bagi tempoh antara Jun 2021 hingga Februari 2024.
Mahkamah akhirnya membenarkan Mahadi diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, selain memerintahkan pasport diserahkan dan tertuduh melapor diri kepada Suruhanjaya Sekuriti sebulan sekali.
Kes masih berjalan.
