GEORGE TOWN – Seorang wanita berusia 37 tahun ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kereta yang dipenuhi barangan peribadi di sebuah stesen minyak di Jalan Paya Terubong, di sini, malam tadi.
Mangsa ditemui tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu sebuah Perodua Myvi yang sarat dengan kotak, beg plastik, bantal serta pelbagai barangan keperluan lain.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.48 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong digerakkan ke lokasi untuk membantu membuka pintu kenderaan yang berkunci.
Menurutnya, pintu kereta berjaya dibuka menggunakan peralatan khas sebelum pegawai perubatan mengesahkan wanita tersebut telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia bagi tindakan dan siasatan lanjut.
Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.43 malam.
Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
