Oleh Mynewshub
KOTA KINABALU – Satu gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 menggegarkan perairan berhampiran Kota Kinabalu, Sabah pukul 12.57 pagi tadi mencetuskan panik dalam kalangan penduduk.
Kesan gempa bumi tersebut turut dirasai hingga ke beberapa kawasan di Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Menurut kenyataan rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa tersebut berpusat pada koordinat 7.0° Utara dan 116.4° Timur, kira-kira 49 kilometer barat dari Kudat, Sabah dengan kedalaman 678 kilometer.
Bagaimanapun, MetMalaysia memaklumkan tiada ancaman tsunami kepada Malaysia dan keadaan terus dipantau dari semasa ke semasa.
Di media sosial, orang ramai berkongsi pengalaman masing-masing ketika gegaran berlaku secara tiba-tiba.
Seorang pengguna, Siti Anizah yang berada di Likas, Kota Kinabalu berkata beliau pada awalnya menyangka masalah kesihatannya berulang.
“Likas KK… kuat rasa gegaran tadi, sedang masak bergerak ni dapur, ingatkan vertigo saya datang balik.”
Seorang lagi pengguna, Handz Apeq, turut menyangka dirinya yang pening sebelum menyedari berlaku gegaran.
“Ingatkan saya yang pening. Tau-tau ada gegaran. Tinggal di apartment paling bawah pun terasa bergoyang bangunan. Apa lagi yang tinggal di atas.”
Di Kepayan, Kota Kinabalu, Wati Shakiel berkata beliau terus bergegas keluar rumah selepas merasai gegaran kuat ketika sedang duduk.
“Kota Kinabalu pun rasa gegaran… bahagian Kepayan… tengah duduk di kerusi gegaran kuat terasa… kemudian saya bergegas keluar.”
Gegaran turut dirasai hingga ke Limbang, Sarawak. “Terasa di Limbang sini gegaran dalam satu minit lebih,” kata Cikgu Khai.
Sementara itu, Hazleen memaklumkan beliau terkejut apabila menerima notifikasi siren daripada aplikasi pengesan gempa bumi di telefon bimbitnya.
“Terperanjat saya tiba-tiba siren notifikasi berbunyi dekat telefon sebab guna apps earthquake. Semoga Allah lindungi kita semua.”
MetMalaysia memohon orang ramai yang merasai gegaran mengisi borang soal selidik secara dalam talian bagi membantu pengumpulan data impak gempa. – MYNEWSHUB


