Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Aktivis kemanusiaan, Yusuf Azmi, menegaskan bahawa isu perobohan rumah ibadat tidak wajar dilihat dari sudut agama semata-mata, sebaliknya perlu difahami dalam konteks pematuhan undang-undang.
Menurut beliau, terdapat juga kes surau yang pernah dirobohkan pihak berkuasa kerana didirikan tanpa kebenaran sah, namun perkara itu jarang diperbesarkan.
“Pernah tengok tak video surau dan masjid (tanpa kelulusan) pernah dirobohkan? Pernah tengok? Tak pernah? Tahu tak kenapa tak pernah? Sebab berapa banyak surau yang dirobohkan, masjid yang dirobohkan, tak keluar video sebab apa?
“Orang Melayu, orang Islam jaga sentimen supaya kerajaan, pihak berwajib tak nampak buruk. Kenapa? Mereka jaga tu sebab tahu mereka juga salah,” katanya di media sosial.
Yusuf berkata, dalam situasi tersebut, pihak terlibat menerima tindakan kerana menyedari kesilapan melanggar peraturan.
“Walaupun itu rumah ibadat, salah tetap salah. Orang yang mendirikan pun tahu tanah itu bukan tanah mereka. Sebab itu mereka boleh terima tindakan,” ujarnya.
Yusuf menegaskan bahawa prinsip kedaulatan undang-undang mesti dihormati semua pihak.
“Kita hidup dalam negara yang ada undang-undang. Ikut undang-undang, tak ada masalah. Kalau buat salah, kena terima akibat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar tindakan sewajarnya diambil terhadap mana-mana individu yang mendirikan rumah ibadat tanpa kebenaran.
“Ambil tindakan kepada individu yang mendirikan tempat itu. Jangan salahkan pihak lain kalau memang tak ikut peraturan,” tegasnya. – MYNEWSHUB
Sumber: FB Yusuf Azmi


