KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan beliau bersedia untuk disiasat secara bebas dan telus berhubung dakwaan berkaitan pemilikan saham yang kini menjadi perhatian umum.
Dalam satu kenyataan rasmi yang dimuat naik menerusi akaun media sosial rasmi SPRM, Azam menekankan bahawa sebagai seorang penjawat awam dan ketua agensi penguatkuasaan, beliau percaya mana-mana individu yang berhadapan dakwaan sewajarnya bersikap terbuka serta bersedia untuk disiasat secara adil.
“Saya ingin menegaskan bahawa saya terbuka sepenuhnya untuk disiasat oleh mana-mana jawatankuasa bebas yang ditubuhkan oleh Kerajaan bagi meneliti secara khusus perkara berkaitan pemilikan saham saya,” katanya hari ini.
Menurut beliau, semua pengisytiharan kewangan dan harta telah dibuat selaras dengan peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa serta melalui saluran rasmi yang ditetapkan.
Azam turut mengalu-alukan sebarang proses yang telus, bebas dan objektif bagi menentukan fakta berasaskan bukti serta mengikut prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang.
Beliau menegaskan prinsip akauntabiliti perlu terpakai kepada semua tanpa pengecualian dan tidak boleh bersifat terpilih atau bermusim.
“Tiada siapa berada di atas undang-undang, dan tiada siapa juga yang harus dihukum melalui persepsi atau naratif media semata-mata,” tegasnya.
Tambah beliau, sepanjang perkhidmatannya, beliau kekal komited terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang demi memastikan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai sebuah institusi terus terpelihara.
Azam juga memberi jaminan akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana mekanisme yang sah dan ditubuhkan secara wajar bagi meneliti perkara tersebut.
Beliau menyatakan keyakinan bahawa kebenaran akan dapat ditegakkan melalui suatu proses yang adil dan bebas. –MYNEWSHUB


