KUALA LUMPUR, 10 Februari 2026 – Sebuah kenderaan mewah jenis Bentley Continental disita dalam satu operasi khas dikenali sebagai Ops Khas Luxury yang dijalankan di Jalan Tun Razak, di sini pada 8 Februari lalu.
Menurut kenyataan Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL), tindakan itu diambil selepas pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan serius di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987).

Antara kesalahan yang dikesan:
1. Tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL)
2. Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh
3. Tiada perlindungan insurans
Susulan itu, kenderaan terbabit telah disita dan dibawa ke depot JPJ WPKL untuk tindakan lanjut.
JPJ WPKL dalam kenyataan sama menegaskan bahawa pihaknya sentiasa memberi perhatian serius terhadap pematuhan undang-undang jalan raya, termasuk melibatkan kenderaan mewah, dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan.
“Pemantauan serta operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua kenderaan berada dalam keadaan sah dan mematuhi peraturan yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Orang awam yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan berkaitan kesalahan lalu lintas boleh menyalurkan maklumat melalui e-mel [email protected] atau menerusi platform aplikasi e-Aduan dengan menyertakan butiran lengkap pengadu serta aduan.
Mynewshub akan terus mengikuti perkembangan lanjut berhubung operasi penguatkuasaan ini.

