NIBONG TEBAL – Tular di media sosial satu rakaman video memaparkan kelibat “pocong” dipercayai berkeliaran di kawasan gelap berhampiran jalan raya di sekitar Parit Buntar, malam tadi.
Rakaman yang dimuat naik menerusi siaran langsung itu menunjukkan individu berbalut kain putih berdiri di kawasan semak sebelum “dicekup” sekumpulan individu yang dipercayai sudah merancang untuk melakukan serang hendap (ambush).
Apa yang mencuit hati, meskipun ‘pocong’ berkenaan sudah kantoi, individu tersebut dilihat masih konsisten melompat seperti watak hantu popular dalam cerita seram tempatan, sekali gus mengundang gelak tawa penonton.
Difahamkan, kejadian itu hanyalah sekadar gurauan atau kandungan hiburan untuk tontonan media sosial dan tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.
Orang ramai bagaimanapun dinasihatkan agar tidak melakukan aksi yang boleh mencetuskan panik awam atau mengganggu ketenteraman, terutama di kawasan gelap dan laluan awam.
