ALOR GAJAH: Lebih 50 hari berlalu sejak tragedi meragut nyawa Muhammad Amirul Shafiq Abdullah, 20, namun keluarganya terus menunggu keadilan apabila pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan itu gagal dikesan sehingga kini.
Ibu saudara mangsa, Noor Hidayu Mahmud, 36, berkata walaupun mereka sekeluarga reda dengan takdir menimpa arwah, namun kehilangan itu terlalu perit untuk diterima tanpa pembelaan sewajarnya.
“Kami reda, tapi sebagai keluarga, kami sangat berharap kematian arwah Amirul tidak berlalu begitu sahaja. Kami cuma mahu kebenaran dan keadilan untuk arwah,” katanya ketika dihubungi, di sini.
Menurut Noor Hidayu, harapan keluarganya kini bergantung kepada orang awam yang mungkin menyaksikan kejadian atau memiliki rakaman kamera papan pemuka (dashcam) pada hari kejadian.
“Kami amat berharap ada saksi yang melihat kejadian sebenar dan sudi tampil memberi keterangan.
“Kalau ada sesiapa yang ada rakaman dashcam, tolonglah bantu kami demi pembelaan arwah anak saudara saya,” katanya dengan nada sebak.
Beliau berkata, pelbagai usaha sudah dilakukan termasuk menyebarkan maklumat kejadian di media sosial, namun setakat ini masih belum menerima sebarang petunjuk yang dapat membantu siasatan.
Dalam kejadian pada 13 Disember lalu, kira-kira jam 4.30 pagi, Muhammad Amirul yang juga pembantu kedai makan dilaporkan maut di lokasi kejadian selepas motosikal Yamaha 135LC ditungganginya terbabit kemalangan dengan sebuah lori.
Teman wanitanya berusia 19 tahun yang membonceng motosikal itu cedera parah dengan patah tulang pinggul dan jari tangan.
Noor Hidayu berkata, ibu dan bapanya, Sepiah Jaharan, 62, dan Mahmud Hamid, 65, paling terkesan dengan pemergian Amirul yang juga cucu sulung mereka.
“Arwah cucu sulung mereka yang dijaga sejak umur dua tahun lagi apabila papanya, Badri Nor Izaham yang juga abang kandung saya, maut dalam kemalangan jalan raya.
“Sampai sekarang, setiap kali nama Amirul disebut, mereka akan diam dan menangis. Sebab itu kami jarang bercakap mengenai arwah di depan mereka…tak sanggup lihat mereka bersedih,” katanya.
Menurutnya, arwah Amirul adalah seorang anak saudara yang baik, pendiam dan lebih gemar menghabiskan masa di rumah dekat Kampung Titian Bintangor, Linggi, menjaga neneknya apabila pulang bercuti.
“Kami cuma berharap ada insan berhati mulia yang sudi tampil membantu agar kematian arwah mendapat pembelaan sebaiknya,” katanya.
Tambah Noor Hidayu, pada masa sama mereka sekeluarga turut mendoakan supaya teman wanita arwah yang masih dirawat di hospital segera sembuh dan dapat membantu siasatan kes itu dengan menceritakan kejadian yang berlaku kepada pihak polis.
Sepiah ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik, Hospital Alor Gajah sebelum ini sebak dan turut berharap kematian cucunya terbela.
“Allah sayangkan dia… ambil dia, meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya sama macam arwah papa dia yang juga satu-satunya anak lelaki kami daripada empat beradik,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau rakaman dashcam diminta tampil membantu dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Loh Gia Xao di talian 019-5382353, atau hadir ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah.
BHonline-


