Sandakan: Kapal Diraja (KD) Pari mengakhiri perkhidmatan secara rasmi dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), hari ini, selepas 49 tahun menabur bakti dengan pasukan keselamatan itu.
Upacara pelucutan tauliah kapal itu disempurnakan Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris di Pangkalan TLDM Sandakan, di sini.
Khir Junaidi berkata, upacara itu sekali gus menandakan tamatnya perkhidmatan kapal rondaan laju itu yang menjadi aset penting TLDM sejak 1977.
Katanya, pelucutan tauliah KD Pari bukan sekadar menamatkan khidmat aset lama, sebaliknya menjadi simbol penting kepada proses transformasi TLDM ke arah armada yang lebih moden dan berkeupayaan tinggi.
“KD PARI menjadi kapal pertama daripada skuadron ini yang dilucut tauliah tahun ini. Beberapa buah kapal lain dijangka akan melalui proses pelucutan tauliah secara berperingkat pada masa akan datang.
“Kapal ini sudah berkhidmat dengan cemerlang dalam menjalankan tugas di perairan Sabah dan juga Semenanjung, selain terbabit dengan pelbagai operasi dan latihan bersama kapal tempatan dan juga luar negara,” katanya.
Khir Junaidi berkata, KD Pari memainkan peranan penting dalam menyokong misi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bagi menjamin keselamatan di perairan timur negeri ini, selain terbabit dalam Op Daulat bagi mengekang pencerobohan tentera Sulu di Lahad Datu pada 2013.
KD Pari dilancarkan pada 1975 di Limbungan Hong Leong-Lurssen, Butterworth, Pulau Pinang sebelum ditauliahkan pada 23 Mac 1977.
Pada peringkat awal perkhidmatan, KD Pari ditempatkan di bawah Skuadron Fast Attack Craft (Gun) bersama lima kapal ronda lain iaitu KD Jerong, KD Todak, KD Paus, KD Yu dan KD Baung.
Pada 2019, skuadron itu ditukar kepada Skuadron Kapal Rondaan Laju (SKRL-6) yang turut menggabungkan KD Serang dan KD Ganas.
Semua aset itu berada di bawah naungan Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) yang berpangkalan di Sandakan, dengan fokus utama melaksanakan rondaan keselamatan khususnya di kawasan pantai timur Sabah.
Sepanjang tempoh perkhidmatan, kapal itu merekodkan pelayaran sejauh 397,190,768 batu nautika dan terbabit dengan pelbagai operasi penting antaranya Op Pasir, Op Daulat Benua dan Op Sinar Sakti bagi melindungi integriti wilayah serta kepentingan maritim negara.
-Harian Metro


