KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan lebih tinggi susulan sentimen pelabur yang kekal optimis terhadap mata wang tempatan, dengan sasaran untuk melepasi semula paras 4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan.
Pada Jumaat, ringgit menembusi paras psikologi penting 4.00 berbanding dolar AS apabila mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun pada 3.9992.
Pencapaian itu turut menandakan paras paling kukuh mata wang Malaysia dalam tempoh lebih tujuh tahun, dengan kali terakhir ringgit berada pada paras tersebut adalah pada 18 Jun 2018, iaitu pada 3.9960/9990.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pelabur kini dijangka mengalihkan tumpuan kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang dijadualkan berlangsung pada 27 hingga 28 Januari ini.
“Besar kemungkinan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) akan mengekalkan kadar faedah yang stabil. Bagaimanapun, apa yang lebih penting adalah penilaian terkininya terhadap keadaan ekonomi,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd mengunjurkan ringgit diniagakan dalam julat 4.04 hingga 4.05 minggu depan sekiranya keputusan mesyuarat FOMC cenderung ke arah kenaikan kadar faedah, yang berpotensi mendorong pengukuhan indeks dolar AS.
“Data AS dalam tempoh semalaman dan penjualan di pasaran bon dan ekuiti baru-baru ini dilihat tidak banyak mengubah jangkaan pasaran terhadap langkah Fed yang seterusnya.
“Unjuran asas kami kekal kepada penurunan kadar faedah sebanyak dua kali tahun ini, yang dijangka bermula pada separuh pertama 2026 dan tidak tertumpu pada akhir tahun memandangkan data yang diterima menjelang mesyuarat FOMC pada Mac sewajarnya menyokong langkah penurunan kadar lebih awal,” katanya dalam nota penyelidikan.
Ringgit menutup urus niaga minggu ini dengan lebih tinggi berbanding dolar AS, mengukuh dari segi perbandingan mingguan untuk ditutup pada 4.0045/0080 berbanding 4.0555/0605 pada Jumaat lalu.
Prestasi ringgit turut mengukuh berbanding sekumpulan mata wang utama, apabila meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5337/5361 daripada 2.5637/5670 pada minggu sebelumnya, mengukuh berbanding euro kepada 4.6993/7034 daripada 4.7076/7134, serta menokok berbanding pound Britain kepada 5.4177/4224 daripada 5.4332/4399.
Di peringkat serantau, ringgit turut mencatatkan pengukuhan berbanding mata wang negara ASEAN lain. Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8362/8544 daripada 12.9115/9332, serta lebih tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.1302/1330 daripada 3.1479/1521.
Mata wang tempatan juga mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 238.0/238.3 daripada 240.1/240.5 minggu lalu dan menokok berbanding peso Filipina kepada 6.77/6.78 daripada 6.83/6.84 sebelum ini.
Bernama-

