KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Khas Rasuah akan ditubuhkan untuk mendengar perbicaraan kes rasuah serta rayuan daripada Mahkamah Sesyen Khas Rasuah.
Penubuhan mahkamah khas itu diumumkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Kenyataan itu berkata, keputusan itu susulan rundingan Hakim Besar Malaya, Datuk Hashim Hamzah dengan Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
“Sebagai permulaan, inisiatif ini akan dimulakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” katanya.
Inisiatif penubuhan Mahkamah Tinggi Khas Rasuah adalah respons kepada titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, ketika merasmikan sidang Parlimen 2026, semalam.
Baginda meminta kerajaan melantik hakim berpengalaman dan mewujudkan laluan mahkamah khas supaya kes rasuah dapat didengar serta diselesaikan dengan cepat.
Sultan Ibrahim menegaskan rasuah perlu diperangi secara besar-besaran dan tanpa kompromi, sambil memberi amaran masalah itu merebak ke pelbagai institusi dan peringkat kuasa.
Baginda turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan dengan pantas, tegas dan menyeluruh.
Menurut Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, setakat ini, sebanyak 14 Mahkamah Sesyen Khas ditubuhkan di seluruh negara bagi mendengar kes rasuah, dengan matlamat menyelesaikan kes dalam tempoh setahun daripada tarikh difailkan.
BHonline-
