KUALA LUMPUR: Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) akan melaksanakan penstrukturan semula di beberapa laluan bas terpilih di Lembah Klang secara berfasa.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria, berkata penstrukturan semula itu sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan kecekapan operasi dan kebolehpercayaan perkhidmatan pengangkutan awam bas.
Katanya, langkah itu dibuat berdasarkan dapatan Kajian Rangkaian Bas Berasaskan Permintaan yang mengkaji perancangan rangkaian bas berasaskan data penggunaan sebenar penumpang.
“Hasil kajian ini membolehkan Rapid KL menyusun dan menyesuaikan laluan serta kekerapan perkhidmatan lebih selari dengan keperluan semasa pengguna, sekali gus meningkatkan kecekapan penggunaan sumber dan kebolehpercayaan perkhidmatan bas.
“Fasa pertama penstrukturan bermula pada 16 Januari ini membabitkan 16 laluan bas perantara MRT serta tiga laluan bas Rapid KL yang ditukar kepada perkhidmatan Rapid KL On-Demand sepenuhnya.
“Penstrukturan itu dilaksanakan berdasarkan jumlah penumpang harian yang rendah, selain kewujudan pilihan alternatif melalui perkhidmatan Rapid KL On-Demand di laluan-laluan terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau menjelaskan laluan yang terbabit di bawah penstrukturan itu hanya membabitkan tujuh peratus daripada keseluruhan 281 laluan bas di bawah kendalian Rapid KL, termasuk laluan bas perantara MRT dan LRT.
“Akses perkhidmatan untuk pengguna sedia ada kekal terjamin kerana perubahan operasi ini disokong melalui perkhidmatan Rapid KL On-Demand, yang boleh ditempah menerusi aplikasi Rapid On-Demand yang boleh dimuat turun di Google Play dan Apple App Store.
“Pengguna masih boleh meneruskan perjalanan harian mereka melalui rangkaian perkhidmatan yang tersedia mengikut keperluan masing-masing.
“Rapid Bus kekal komited untuk memastikan proses penstrukturan ini dilaksanakan dengan lancar dan akan terus menyalurkan maklumat terkini kepada orang awam,” katanya.
-Berita Harian


