IPOH: Kerajaan Perak memberi tempoh sehingga Oktober ini kepada pengusaha rokok elektronik atau vape menghentikan penjualannya susulan keputusan melaksanakan larangan lesen menjual produk itu di negeri berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, Datuk A Sivanesan, berkata tempoh itu diberikan sebagai langkah peralihan bagi membolehkan pengusaha terbabit membuat persediaan sebelum larangan berkenaan dikuatkuasakan sepenuhnya.
“Kita masih beri ruang sehingga Oktober ini kerana terdapat segelintir pengusaha yang masih memegang lesen jualan rokok elektronik yang belum luput tempoh.
“Jadi, kita harap mereka boleh habiskan produk, sekali gus menghentikan operasi penjualan sepenuhnya secara berperingkat,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.
Pada 1 Oktober lalu, Kerajaan Perak mengumumkan pelaksanaan larangan lesen penjualan rokok elektronik di semua premis perniagaan dalam kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) bermula 1 Januari 2026 seperti dimuktamadkan pada Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri.
Sivanesan berkata, pihaknya berharap kelonggaran diberikan itu tidak disalah guna mana-mana pengusaha rokok elektronik untuk meneruskan perniagaan mereka secara tidak sah.
Beliau berkata, jika ada yang melanggar arahan itu, tindakan perundangan akan diambil terhadap mereka oleh pihak berwajib.
“Kita bagi ruang dan masa yang cukup, saya harap mereka memahami serta mematuhi larangan dikenakan demi kepentingan kesihatan awam dan keselamatan masyarakat,” katanya.
Bernama-


