KULIM: Sebuah bumbung stesen minyak di kawasan Sungai Ular, di sini, runtuh selepas dilanggar sebuah treler ketika kenderaan berat itu dipercayai mahu membelok untuk mengisi minyak, pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 7.20 pagi.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati treler jenis Volvo yang dipandu lelaki berusia 24 tahun itu sedang dalam perjalanan dari Klang, Selangor menuju ke Kuala Ketil melalui Serdang.
“Ketika tiba di stesen minyak berkenaan dan membelok ke arah pam diesel, bahagian badan treler secara tiba-tiba terlanggar bumbung stesen minyak sehingga menyebabkan struktur berkenaan runtuh,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Beliau memaklumkan, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut, termasuk melibatkan pemandu treler atau orang awam.
Bagaimanapun, stesen minyak berkenaan mengalami kerosakan pada bumbung serta empat pam minyak, manakala treler terbabit dilaporkan tidak mengalami sebarang kerosakan.
Kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59, dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
