SEREMBAN: Polis percaya rumah yang diserbu susulan kejadian letupan di Desa Palma, Nilai, 22 Disember lalu dijadikan makmal untuk menghasilkan peranti letupan buatan sendiri (IED).
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata ia susulan penemuan sejumlah IED di rumah berkenaan polis mendapati suspek mempunyai pengetahuan mengenai pembuatan peranti berkenaan.
“Berhubung perkembangan kes letupan di Desa Palma, siasatan yang dijalankan membawa kepada penemuan sejumlah besar peranti serta komponen yang disyaki sebagai IED dalam pelbagai bentuk dan saiz di sebuah rumah yang dikenalpasti.
“Sehubungan itu, pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan bagi melaksanakan tindakan keselamatan yang sewajarnya, termasuk pemusnahan peranti berkenaan secara terkawal melalui kaedah in-situ,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pihak polis mengesyaki rumah berkenaan dijadikan sebagai makmal untuk menghasilkan IED.
“Suspek dipercayai mempunyai pengetahuan teknikal serta kemahiran khusus dalam pembuatan bahan letupan berdasarkan penemuan peranti dan peralatan yang dirampas.
“Kesemua barang kes dihantar ke Jabatan Kimia dan forensik untuk tujuan analisis lanjut,” katanya.
Alzafny berkata, setakat ini, pihak polis merakam percakapan seramai 14 saksi bagi membantu siasatan serta memperoleh rakaman CCTV di kawasan sekitar untuk dianalisis.
“Sehubungan itu, pihak polis sedang mengesan seorang lelaki warga tempatan berbangsa Cina dikenali sebagai Yeoh Hock Sun, berumur 62 tahun dan pemegang nombor kad pengenalan 631008-03-5605 bagi membantu siasatan kes ini.
“Individu berkenaan dikehendaki bagi membantu siasatan bersabit kes ini mengikut Seksyen 4 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berjadual 1958 serta Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
“Suspek beralamat di no 14, Jalan Sultan Petra, Kuala Krai, Kelantan. pihak polis memberi jaminan bahawa situasi keselamatan adalah terkawal,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata langkah berjaga-jaga akan terus dipertingkatkan melalui pemantauan rapi dan pengukuhan tahap kesiapsiagaan keselamatan.
“Khususnya terhadap program atau majlis yang kehadiran orang ramai, sebagai langkah pencegahan awal bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.
BHonline-
