KUALA LUMPUR — Desakan agar UMNO dan PAS menghidupkan semula kerjasama Muafakat Nasional (MN) kembali kedengaran, susulan kemelut politik yang melanda beberapa negeri termasuk di Perlis.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan bahawa usaha memperkukuh Muafakat Nasional sepatutnya dimulakan lebih awal yakni ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dahulu.
“Hari ini baru nampak belang masing-masing, kena tikam belakang. Alang-alang bubar sekali PN, kita wujudkan semula Muafakat Nasional,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Kenyataan itu mendapat sokongan terbuka daripada Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Saari, yang menyifatkan cadangan menghidupkan semula Muafakat Nasional sebagai langkah penting untuk memperkukuh perpaduan ummah dan kestabilan politik Melayu-Islam.
Dalam satu kenyataan, Ahmad Fadhli berkata beliau sangat bersetuju dengan cadangan tersebut dan menegaskan bahawa Muafakat Nasional merupakan kunci kekuatan serta kebangkitan semula perpaduan ummah.
“Saya sangat setuju dengan cadangan menghidupkan semula Muafakat Nasional ini. Inilah kunci kekuatan dan kebangkitan semula perpaduan ummah,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar rundingan rasmi dihidupkan semula, termasuk penubuhan jawatankuasa perunding bersama dan berpandangan bahawa UMNO dan Barisan Nasional wajar menyatakan pendirian keluar daripada gabungan bersama Pakatan Harapan bagi membolehkan Muafakat Nasional dilancarkan semula secara lebih tersusun.
“Tahniah Ketua Pemuda UMNO. Sebaik sahaja UMNO/BN isytihar keluar dari gabungan bersama PH, kita lancarkan terus Muafakat Nasional,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Menurut pemerhati politik, sokongan terbuka daripada kepimpinan PAS itu memperlihatkan wujudnya isyarat awal ke arah Muafakat Nasional 2.0, yang dilihat lebih berteraskan kejujuran politik, prinsip dan agenda agama, bangsa serta negara.
Namun, beberapa pihak turut menegaskan bahawa PAS perlu membuktikan keikhlasan sepenuhnya, termasuk komitmen untuk tidak meninggalkan UMNO “separuh jalan” seperti yang didakwa berlaku dalam episod kerjasama sebelum ini.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada kepimpinan tertinggi kedua-dua parti berhubung bentuk dan hala tuju Muafakat Nasional 2.0, namun tekanan akar umbi yang mahukan penyatuan semula UMNO–PAS dilihat semakin meningkat.
Penganalisis berpandangan, sebarang usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional hanya akan mendapat sokongan rakyat sekiranya ia dibina atas keikhlasan, kejujuran dan komitmen jangka panjang, bukan sekadar strategi politik sementara.



