KOTA KINABALU: Satu rakaman video memaparkan sekumpulan lelaki sedang mengira sejumlah besar wang tunai ketika dipercayai berjudi tular di media sosial sejak semalam, sekali gus mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.
Rakaman berdurasi beberapa saat itu dipercayai dimuat naik di platform Reddit dengan kapsyen “Meanwhile in Sabah”, sebelum dikongsi secara meluas ke aplikasi pesanan dan media sosial lain.
Dalam video berkenaan, lelaki terbabit dilihat duduk di sebuah kawasan terbuka sambil menyusun dan mengira wang tunai dalam jumlah yang banyak di atas meja, namun lokasi sebenar, identiti individu-individu serta sumber wang berkenaan tidak dapat dipastikan setakat ini.
Perkongsian tersebut mencetuskan pelbagai spekulasi dan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial, termasuk persoalan mengenai tujuan rakaman itu dibuat.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung video itu sehingga kini.
Perkembangan lanjut akan dikemas kini sekiranya terdapat kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa.


