SHAH ALAM: Usahawan wanita bersama anaknya yang ditahan bagi membantu siasatan berkenaan eksploitasi buruh paksa terhadap dua pembantu rumah warga Indonesia pada Khamis lalu, dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol, berkata ia selepas permohonan sambung reman terhadap dua suspek berusia 50-an dan 30-an ditolak, hari ini.
“Permohonan sambung reman ditolak …(suspek) akan diberi jamin polis, manakala dua mangsa kini ditempatkan di rumah perlindungan,” katanya ringkas, hari ini.
Kedua-dua suspek sebelum ini direman tiga hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Semalam, media melaporkan dua beranak itu ditahan di sebuah rumah di Kayangan Heights dekat sini pada Khamis lalu selepas dua mangsa berusia 48 dan 33 tahun diselamatkan.
Ramsay berkata, mangsa pertama memberitahu sudah bekerja dua tahun manakala seorang lagi baru sebulan.
Katanya, mangsa mendakwa telefon bimbit dan pasport mereka dirampas oleh majikan, dipaksa bekerja lebih masa serta sering dipukul selain tidak dibayar gaji sejak dua bulan lalu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Anti-Pemerdagangan Orang Dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
BHonline-
