KUALA LUMPUR: Ahli keluarga Suri Narudin, wanita yang dilaporkan hilang sejak 9 Disember lalu selepas tidak tiba di Zurich bersama rakannya, lega suspek utama sudah ditahan, tetapi menafikan lelaki terbabit adalah suami Suri.
Anak saudara Suri yang hanya mahu dikenali sebagai Sasha, 38, berkata ibu saudaranya dan lelaki berkenaan belum berkahwin.
“Lelaki itu boleh saya katakan sebagai teman lelaki sahaja dan mereka belum berkahwin. Makcik saya tidak pernah merahsiakan perkara itu daripada keluarga,” katanya.
Menurut Sasha, kekeliruan berhubung status hubungan mangsa dan suspek dipercayai timbul selepas seorang anak kepada suspek menyatakan dalam laporan polis bahawa kedua-duanya adalah pasangan suami isteri.
“Sehari selepas saya buat laporan polis, anak suspek ada juga buat laporan polis berkait kes ini. Dalam laporan polis itu, dinyatakan mereka sudah berkahwin, tetapi daripada pihak keluarga makcik saya, kami tahu mereka belum berkahwin.
“Itu yang menyebabkan berlaku salah faham, kerana dia bukan suami makcik saya, sebaliknya hanya teman lelaki,” katanya.
Sasha juga memberitahu, pihak keluarga berharap mendapat jawapan terhadap apa yang berlaku, mahukan kebenaran serta keadilan untuk ibu saudaranya itu dan berharap berharap pelaku diberikan balasan setimpal.
Jelasnya, ibu saudaranya kali terakhir ditemui pada 5 Disember lalu dan masih berkomunikasi seperti biasa sebelum gagal dihubungi sejak 8 Disember, sehari sebelum dijadual berlepas ke Doha, Qatar pada jam 2.40 pagi 9 Disember sebelum ke Zurich.
Menurutnya, Suri juga sudah membuat persiapan perjalanan termasuk urusan tiket dan maklumat perjalanan, selain rakan di luar negara turut menunggu ketibaan wanita itu.
“Rakan dia di Zurich tunggu berjam-jam, tapi ibu saudara saya tak muncul dan saya turut buat semakan rekod imigresen, namun tiada rekod dia keluar negara. Di situ kami semakin yakin sesuatu yang buruk telah berlaku,” katanya.
Dia yang membuat laporan polis mengenai kehilangan Suri di Balai Polis Ampang pada 15 Disember lalu, berkata keluarga mula berasa sesuatu tidak kena sejak awal kerana Suri bukan individu yang akan menghilang tanpa khabar.
“Lebih-lebih lagi ketika mempunyai perancangan perjalanan ke luar negara. Dia memang jenis yang sentiasa berhubung, kalau keluar atau ke mana-mana mesti beritahu dan dia juga suka buat hantaran di media sosial tentang apa sahaja aktivitinya,” katanya.
Tambahnya, sejak kehilangan Suri, keluarga berdepan tekanan emosi kerana banyak perkara dirasakan janggal, khususnya berkait kelakuan suspek utama yang rapat dengan mangsa dan menjadi antara orang terakhir bersama ibu saudaranya itu.
Mengenai lelaki yang ditahan polis dan disyaki suspek utama, Sasha menyifatkan lelaki berusia 51 tahun itu baik hati serta rapat dengan ahli keluarga Suri, selain disenangi kanak-kanak kerana pandai mengambil hati mereka.
Menurutnya, individu itu juga sebelum ini sering bergaul dengan keluarga dan tidak pernah menunjukkan sebarang perlakuan yang mencetuskan syak wasangka.
“Dia juga selalu bantu ambil dua anak saya pulang dari sekolah dan saya memang mengenalinya kerana sudah hampir enam tahun makcik dan dia berkawan,” katanya.
Khamis lalu, polis menemui mayat wanita dalam beg dan ditanam di halaman sebuah rumah kosong di Kampung Batu 4, Pedas di Rembau, Negeri Sembilan, yang disyaki berkait dengan laporan orang hilang di daerah Ampang, Selangor.
Setakat ini, polis belum mengesahkan identiti mayat sebaliknya menunggu keputusan DNA.
Sasha berkata, ketika proses pengecaman mayat di Hospital Rembau, keluarga yang hadir tidak dibenarkan membuat pengecaman secara fizikal kerana keadaan mayat yang tidak mengizinkan.
“Kaedah terakhir adalah pengecaman melalui padanan DNA. Sampel DNA diambil daripada seorang ibu saudara (kakak Suri) dan dimaklumkan keputusan ujian itu akan ambil masa berminggu, berbulan,” katanya.
Sasha turut memaklumkan, Suri ada berpesan kepada keluarga di Sarawak, minta dikebumikan di sebelah pusara anak tunggal perempuannya, jika dia meninggal dunia.
Katanya, Suri pernah dua kali mendirikan rumah tangga dan dikurniakan seorang anak perempuan berstatus orang kelainan upaya (OKU), namun kanak-kanak itu meninggal dunia ketika berusia 11 tahun, kira-kira 10 tahun lalu.
BHonline-

