DOMPU – Detik cemas tercetus apabila kepala air kali kedua melanda kawasan pelancongan Air Terjun Pelangi di Dompu Regency, West Nusa Tenggara, Indonesia pada Selasa, menyebabkan beberapa pengunjung panik dan terperangkap.
Menurut laporan, kejadian berlaku secara tiba-tiba apabila aliran air dari hulu sungai meningkat mendadak, mengakibatkan arus deras meluru ke kawasan air terjun.
Beberapa individu dilaporkan terperangkap di seberang sungai dan tidak dapat menyelamatkan diri berikutan arus yang terlalu kuat.
Situasi bertambah tegang apabila paras air terus meningkat dalam tempoh singkat, memaksa pelawat berlindung sementara menunggu bantuan tiba.
Bagaimanapun, hasil tindakan pantas pihak berkuasa tempatan bersama pasukan penyelamat, semua mangsa berjaya dipindahkan dengan selamat.
Proses pemindahan dilaporkan mengambil masa lebih empat jam berikutan keadaan arus deras serta faktor keselamatan di lokasi.
Tiada kecederaan serius dilaporkan setakat ini.
Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada terhadap risiko kepala air, khususnya ketika hujan lebat di kawasan hulu, dan mematuhi amaran keselamatan ketika berkunjung ke kawasan air terjun.
Sumber: Laporan media tempatan & pihak berkuasa setempat
—
Nota Mynewshub: Fenomena kepala air boleh berlaku tanpa amaran awal dan amat berbahaya. Orang ramai disaran sentiasa peka terhadap perubahan cuaca dan keadaan air di kawasan rekreasi semula jadi.


