KUALA LUMPUR: Tindakan beberapa kenderaan keselamatan menghentikan sepenuhnya aliran trafik di lebuh raya bagi kerja menampal lubang jalan mencetuskan perbincangan hangat di media sosial, selepas rakaman kejadian itu tular sejak semalam.
Rakaman yang dimuat naik seorang pengguna media sosial menunjukkan deretan lori bertanda “Safety Vehicle – Kenderaan Berhenti” bergerak selari merentasi semua lorong, menyebabkan trafik diperlahankan dan dihentikan sementara bagi memberi laluan kepada pasukan penyelenggaraan menjalankan kerja pembaikan jalan.

Menurut perkongsian berkenaan, situasi itu disifatkan sebagai pengalaman luar biasa kerana keseluruhan trafik dihentikan hanya untuk menampal satu lubang di lebuh raya.
Namun, reaksi netizen rata-rata mempertahankan tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai prosedur keselamatan yang wajar.
Seorang individu yang pernah terlibat dengan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjelaskan, kaedah berkenaan diinspirasikan daripada sistem safety car dalam perlumbaan Formula 1 (F1), di mana kenderaan keselamatan digunakan untuk memperlahankan trafik bagi melindungi petugas di atas jalan.
“Prosedur ini diperkenalkan selepas beberapa insiden kemalangan berlaku akibat pengguna jalan raya gagal memperlahankan kenderaan ketika kerja pembersihan atau pembaikan dijalankan. Sejak itu, risiko terhadap pekerja lebuh raya menurun dengan ketara,” katanya.
Dalam ruangan komen, ramai netizen menegaskan bahawa langkah tersebut bukan sekadar menampal lubang, sebaliknya bertujuan memastikan keselamatan semua pihak termasuk pekerja penyelenggaraan dan pengguna jalan raya.
“‘Sekadar tampal lubang’ boleh menyelamatkan banyak nyawa,” kata seorang pengguna, manakala seorang lagi menyifatkan prosedur itu sebagai satu keperluan memandangkan tahap kesedaran keselamatan sebahagian pemandu masih rendah.
Terdapat juga komen daripada pengguna luar negara yang memuji tahap keselamatan awam di Malaysia, dengan menyatakan prosedur seperti itu jarang dilihat di negara lain.
PLUS setakat ini sering menegaskan bahawa keselamatan pengguna dan pekerja lebuh raya adalah keutamaan, terutama ketika kerja penyelenggaraan kecemasan dijalankan di laluan berkelajuan tinggi.— Mynewshub
Kredit video: Threads alvin.aj.chen


