ACEH TAMIANG, INDONESIA: Detik penuh emosi tercetus ketika wartawan CNN Indonesia, Irine Wardani, gagal menahan air mata sewaktu membuat liputan langsung bencana besar yang melanda Sumatra, yang setakat ini dilaporkan telah meragut sekurang-kurangnya 1,030 nyawa.
Rakaman siaran langsung dari Aceh Tamiang itu menunjukkan Irine beberapa kali terhenti ketika menyampaikan laporan akibat terlalu sebak melihat keadaan di lokasi bencana, yang dipenuhi kemusnahan serta penderitaan mangsa.
Beliau berada di lapangan bersama jurukamera Urip Handoyo, yang turut merakam situasi pilu di kawasan terjejas.
Airmata Irine dilihat tumpah berkali-kali, mencerminkan betapa beratnya tugas kewartawanan di tengah tragedi kemanusiaan sebesar ini.
Irene memberitahu dia diminta mangsa kejadian bencana Sumatera secara berulang-kali agar menyiarkan laporan berita dengan benar-benar jujur agar permasalahan mangsa dapat ditonton dunia dengan jelas.
Apa yang dilihat benar-benar menyentuh hatinya ialah ramai kanak-kanak mangsa bencana yang sedang kelaparan dan belum lagi mendapat sebarang makanan.
Namun begitu, Irine tetap meneruskan laporan dengan penuh keteguhan demi menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
Rakan sekerja Irine dilihat menenangkan dirinya sambil berjanji akan bertanya kepada pihak kerajaan beberapa perkara dibangkitkan Irine seperti mengapa tidak mahu menerima bantuan asing dalam segmen seterusnya.
Insiden tersebut mencetuskan reaksi simpati dan sokongan meluas di media sosial, dengan ramai memuji profesionalisme serta keberanian petugas media yang tetap menjalankan tanggungjawab meskipun berdepan tekanan emosi yang luar biasa.
Bencana di Sumatra ini disifatkan antara yang terburuk dalam sejarah terkini Indonesia, dengan ribuan keluarga kehilangan orang tersayang dan tempat tinggal.
Usaha menyelamat dan bantuan kemanusiaan masih giat dijalankan oleh pihak berkuasa serta sukarelawan.


