KUALA LUMPUR: Peguam Negara mengarahkan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta di Mahkamah Persekutuan, diteruskan dan apa jua keputusan akhir mahkamah tertinggi negara itu, hendaklah diterima.
Arahan itu dikeluarkan Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar selepas pasukan pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mendapatkan pandangan dan arahannya berhubung rayuan berkenaan.
Sehubungan itu, pendakwaan yang bertindak selaku perayu dalam rayuan berkenaan, mengekalkan hujahan bertulis dan hujahan lisannya, bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Syed Saddiq.
Pendirian Peguam itu dinyatakan melalui surat pemakluman daripada Wan Shaharuddin yang juga Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, yang difailkan pada jam 9.10 pagi tadi, dan dialamatkan kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan.
Jumaat lalu, selepas mendengar hujahan perayu dan pasukan peguam Syed Saddiq yang dinamakan selaku responden, Mahkamah Persekutuan mengambil langkah di luar kebiasaan apabila memberikan tempoh bertenang seminggu dan mengarahkan pendakwaan menyatakan pendirian dalam rayuannya.
Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais yang mengetuai panel tiga hakim memberitahu pendakwaan supaya meneliti kembali hujahan rayuannya dan kemudian memaklumkan kepada mahkamah mengenai pendiriannya, sebelum mahkamah membuat keputusan lanjut.
Berdasarkan kepada surat terbabit, pendakwaan merujuk kepada arahan Abu Bakar kepada kedua-dua belah pihak yang diberikan di mahkamah pada 12 Disember lalu.
“Pihak perayu sudah mendapatkan pandangan dan arahan Tan Sri Peguam Negara berhubung perkara ini.
“Tan Sri Peguam Negara mengarahkan supaya rayuan ini diteruskan dan apa jua keputusan mahkamah yang mulia ini hendaklah diterima.
“Sehubungan itu, pihak perayu mengekalkan hujahan bertulis dan hujahan lisan yang dikemukakan di dalam rayuan ini.
“Segala pertimbangan, budi bicara dan kerjasama dalam perkara ini adalah didahului dengan ucapan jutaan terima kasih,” kata surat itu.
Menurut Abu Bakar pada prosiding lalu juga, selepas mereka menerima hujahan bertulis rayuan dan jika tiada apa-apa sebarang petunjuk, panel itu yang turut dianggotai Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah akan membuat keputusannya.
Pendakwaan yakin kekuatan kes
Sementara itu, Wan Shaharuddin yang mengesahkan perkara itu ketika dihubungi media, menegaskan bahawa pendakwaan masih yakin dengan kekuatan kesnya.
“Sudah tentu kami yakin dengan kekuatan kes kami. Oleh kerana kami dan peguam Syed Saddiq telah berhujah berkenaan isu penting bagi rayuan ini, kami serahkan kepada kebijaksanaan panel Mahkamah Persekutuan untuk membuat keputusan”,” katanya.
Syed Saddiq yang juga bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 25 Jun lalu atas kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana sayap parti itu.
Pendakwaan memfailkan petisyen rayuan pada 22 September lalu dengan mengemukakan 28 alasan mengapa Mahkamah Rayuan tidak sepatutnya membebaskan Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan daripada keempat-empat pertuduhan yang dihadapinya.
Petisyen rayuan antara lain menyatakan panel terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila mengambil pendekatan yang salah ketika menilai keterangan saksi pendakwaan dalam kes berkenaan.
Menurut pendakwaan, ia berpendirian Mahkamah Rayuan terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila membuat tuduhan `liar’ bahawa pihaknya memberikan tekanan kepada seorang saksi dalam kes terbabit.
Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari ARMADA, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dengan dana ARMADA berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri, iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang berkenaan.
Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang, masing-masing RM50,000 dari akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) juga miliknya, yang hasil daripada aktiviti haram.
BHonline-


