Mahkamah Batalkan Injunksi, Atomy Malaysia Diarah Bayar Kos RM70,000 – Firdaus Wong
Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung, mendakwa beliau menang saman fitnah yang difailkan oleh Atomy Malaysia Sdn Bhd, selain memaklumkan bahawa Mahkamah Tinggi telah membatalkan perintah injunksi yang sebelum ini menghalangnya daripada bercakap mengenai syarikat pemasaran rangkaian itu.
Perkara tersebut dimaklumkan Firdaus Wong menerusi satu kenyataan awam di media sosialnya hari ini, di mana beliau turut mendakwa mahkamah mengarahkan Atomy Malaysia membayar kos mahkamah berjumlah RM70,000 kepadanya sebagai defendan.
“Alhamdulillah. Allahuakbar. Kita menang saman fitnah terhadap Atomy Malaysia. Injunksi untuk saya bercakap tentang Atomy telah dibatalkan oleh mahkamah,” menurut kenyataan Firdaus Wong.

Dakwaan Kristianisasi Dibangkitkan
Dalam kenyataan sama, Firdaus Wong turut mendakwa bahawa mahkamah menerima hujah berkaitan aktiviti Kristianisasi yang dikaitkan dengan Atomy Co. Ltd dari Korea Selatan, satu isu yang pernah mencetuskan polemik besar dalam kalangan masyarakat Islam sebelum ini.
Menurut beliau, dengan pembatalan injunksi tersebut, beliau kini bebas untuk mendedahkan perjalanan kes serta perkara-perkara yang dibincangkan sepanjang prosiding mahkamah.
“Saya akan dedahkan lebih banyak perkara yang berlaku di dalam mahkamah,” katanya lagi.
Isu Pernah Cetus Kontroversi
Terdahulu, isu dakwaan kaitan Atomy dengan aktiviti Kristianisasi pernah menjadi perhatian umum dan dilaporkan oleh beberapa portal berita tempatan, selain dibincangkan oleh pihak berkuasa agama di beberapa negeri, termasuk amaran serta nasihat kepada umat Islam berhubung penglibatan dengan syarikat berkenaan.
Bagaimanapun, setakat ini penghakiman bertulis mahkamah belum dikeluarkan kepada umum, dan butiran rasmi keputusan mahkamah masih belum disahkan melalui kenyataan kehakiman.
Tiada Kenyataan Rasmi Atomy
Sehingga laporan ini diterbitkan, Atomy Malaysia Sdn Bhd masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi mengulas dakwaan yang dibuat oleh Firdaus Wong, termasuk berkaitan pembayaran kos mahkamah dan pembatalan injunksi tersebut.
Mynewshub sedang berusaha mendapatkan maklum balas rasmi daripada pihak Atomy Malaysia dan akan mengemas kini laporan ini sekiranya terdapat perkembangan lanjut.- MYNEWSHUB


