KUALA LUMPUR – Tular di media sosial satu video memaparkan seorang wanita mendakwa asal Kamboja merayu bantuan Indonesia bagi membantu menghentikan konflik dan ketegangan yang berlarutan di sempadan antara Kamboja dan Thailand.
Menerusi rakaman video yang dimuat naik di akaun media sosial cambodia5856, wanita tersebut, yang fasih berbahasa Melayu slang Indonesia, menyuarakan harapan agar Indonesia tampil sebagai pihak tengah untuk meredakan keadaan, sekali gus mengelakkan konflik daripada terus berlarutan.
Menurutnya, campur tangan Indonesia sebagai negara berpengaruh di rantau Asia Tenggara diyakini mampu membawa kedua-dua pihak ke meja rundingan dan mencari penyelesaian secara diplomatik.
Namun, tindakan wanita berkenaan mencetuskan persoalan dalam kalangan netizen, khususnya warga Malaysia, yang tertanya-tanya mengapa bantuan tidak diminta daripada Malaysia, sedangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dikenali sebagai tokoh yang lantang membawa pendekatan diplomasi, keamanan dan dialog serantau.
Malah, Malaysia juga merupakan antara negara pengasas ASEAN serta pernah memainkan peranan penting dalam usaha pendamaian konflik di rantau ini, termasuk menjadi orang tengah dalam beberapa isu geopolitik dan keselamatan serantau sebelum ini.
“Kenapa tidak minta bantuan Anwar Ibrahim? Tak yakin ke?” antara komen yang tular, menggambarkan kehairanan netizen terhadap pilihan tersebut.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa Kamboja atau Thailand berhubung video berkenaan, manakala Indonesia juga belum memberi sebarang maklum balas rasmi berkaitan permintaan itu.
Konflik dan ketegangan di kawasan sempadan Kamboja–Thailand bukan isu baharu, dengan pertikaian wilayah dan keselamatan sering mencetuskan ketegangan antara kedua-dua negara jiran itu. – MYNEWSHUB


