KUALA LUMPUR – Tular di media sosial satu rakaman video memaparkan seorang lelaki yang mengaku dirinya peguam memarahi dan merakam seorang pekerja syarikat bekalan air yang sedang memotong bekalan air di rumahnya, sambil mendakwa pekerja terbabit telah menceroboh kawasan kediamannya.
Dalam video berkenaan, lelaki itu kelihatan berang dan mempertikaikan tindakan pemotongan air, malah menuduh pekerja syarikat utiliti berkenaan bertindak sewenang-wenangnya tanpa kebenaran.
Namun, hasil semakan dan maklum balas daripada pihak berkaitan mendapati pemotongan bekalan air tersebut dilakukan berikutan tunggakan bil yang tidak dijelaskan oleh pemilik rumah, selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) syarikat bekalan air.
Difahamkan, notis peringatan dan amaran telah dikeluarkan lebih awal sebelum tindakan pemotongan dibuat, namun gagal dipatuhi.
Tindakan pekerja terbabit juga disahkan tidak melibatkan sebarang pencerobohan, sebaliknya dilaksanakan di kawasan meter air yang berada di bawah bidang kuasa syarikat utiliti.
Insiden itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen, dengan ramai mengingatkan orang ramai agar menjelaskan bil utiliti mengikut tempoh ditetapkan dan tidak mempersalahkan petugas yang hanya menjalankan tugas.
Orang awam turut dinasihatkan supaya tidak mudah menyebarkan rakaman separuh cerita yang boleh mengelirukan dan mencetuskan salah faham terhadap pihak lain.- MYNEWSHUB
