Kemunculan Singkat Messi Di Kolkata Cetus Kekecewaan 80,000 Peminat
Oleh Mynewshub
KOLKATA, INDIA – Kemunculan legenda bola sepak dunia, Lionel Messi, di Stadium Salt Lake, Kolkata bertukar menjadi kekecewaan besar apabila bintang Argentina itu hanya berada di dalam stadium selama kira-kira 20 hingga 22 minit, sekali gus mencetuskan kemarahan ribuan peminat yang hadir.
Difahamkan, lebih 80,000 peminat membanjiri stadium berkenaan selepas membeli tiket dengan harga tinggi sempena lawatan Messi ke India, namun kebanyakan mereka gagal melihat kelibat idola mereka dengan jelas.
Ada di antara penonton yang membayar sehingga USD130 atau lebih RM500

Menurut laporan media antarabangsa, sepanjang kehadirannya Messi lebih banyak dikelilingi VIP, ahli politik dan wakil media, menyebabkan peminat biasa yang memenuhi tempat duduk stadium sekadar melihat dari jauh.
Situasi itu mencetuskan kekecohan apabila sebahagian penyokong meluahkan rasa tidak puas hati dengan membaling objek ke padang, merosakkan tempat duduk, malah ada yang cuba menceroboh kawasan keselamatan.
Pihak berkuasa tempatan mengesahkan beberapa individu telah ditahan untuk siasatan, manakala penganjur acara turut dipanggil bagi memberi penjelasan berhubung pengurusan program yang didakwa gagal memenuhi jangkaan peminat.
Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee, dilaporkan telah mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka susulan insiden berkenaan dan mengarahkan satu siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kegagalan acara tersebut.
Setakat ini, Messi belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai insiden berkenaan, namun lawatan singkat itu terus menjadi topik hangat di media sosial, dengan ramai peminat menyifatkannya sebagai “penipuan emosi” terhadap penyokong setia bola sepak di India.
Insiden di Kolkata ini sekali lagi mencetuskan persoalan mengenai pengurusan acara melibatkan bintang sukan bertaraf dunia, khususnya apabila harapan peminat tidak selari dengan realiti yang berlaku.- MYNEWSHUB


