Penjaga Selamat, Punca Didakwa Berkait ‘Food Drive’
HANGZHOU – Rakaman video selama 46 saat yang tular di media sosial memaparkan detik mencemaskan apabila seekor beruang hitam tiba-tiba menyerang penjaganya semasa persembahan di Hangzhou Safari Park, China, baru-baru ini.
Menurut laporan South China Morning Post (SCMP) dan Shanghai Daily, insiden itu berlaku ketika sesi pertunjukan rutin pada hujung minggu lalu.
Dalam video berkenaan, beruang berkenaan dilihat meluru ke arah penjaga sebelum beberapa staf lain bertindak menghalang haiwan tersebut.
Jurucakap Hangzhou Safari Park mengesahkan bahawa penjaga terbabit selamat dan tidak mengalami kecederaan serius.
Pihak zoo turut memaklumkan bahawa beruang tersebut kini digugurkan daripada semua sesi pertunjukan sebagai langkah keselamatan.
Menurut kenyataan rasmi pihak zoo yang dipetik oleh SCMP, siasatan awal mendapati serangan itu berkemungkinan berpunca daripada rangsangan makanan.
> “Beruang mungkin menghidu bau snek atau makanan pada pakaian penjaga, sekali gus mencetuskan naluri mendapatkan makanan,” menurut wakil zoo.
Insiden itu sekali lagi mencetuskan perdebatan mengenai keselamatan persembahan haiwan liar di taman safari China serta keperluan memperketatkan protokol bagi mengelakkan kejadian berulang.
–– Sumber: South China Morning Post (SCMP), Shanghai Daily


