KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Albert Tei didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, terhadap empat tuduhan memberi suapan RM176,829.03 iaitu wang tunai RM140,000 dan kelengkapan perabot termasuk barangan elektrik bernilai RM36,829 kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Semua tuduhan yang dikenakan itu adalah berhubung kelulusan bagi mendapatkan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Albert Tei atau nama sebenarnya, Tei Jiann Cheing, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan di atas kesemua tuduhan berkenaan yang didakwa dilakukan pada tahun 2023 dan 2024.
“Faham, saya mengaku tidak bersalah dan mohon untuk dibicarakan,” katanya selepas tuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut tuduhan pertama hingga keempat, wang tunai dan barangan yang diberikan ahli perniagaan itu adalah sebagai dorongan bagi membantu syarikatnya (Albert Tei) mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Semua kesalahan terbabit didakwa dilakukan di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, di sini dan Presint 14, Putrajaya antara 24 November 2023 dan 5 Mac 2024.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
-Berita Harian


