TANAH MERAH – Isteri maut ditikam dua kali di bahagian belakang badannya oleh suami menggunakan sebilah pisau di dapur rumah mereka di Kampung Paku, Gual Ipoh, pada Isnin.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata siasatan awal mendapati, sebelum kejadian, mangsa, Mastura Abdullah, 40, yang merupakan seorang tukang masak, telah bertengkar dengan suaminya berusia 63 tahun.
“Kejadian itu berlaku selepas suspek mengesyaki wanita itu mempunyai kekasih. Lelaki itu dipercayai menikam bahagian belakang badan isterinya dengan dua tikaman.
“Berdasarkan maklumat awal, mangsa dikatakan baru sahaja tiba di rumahnya dari Lembah Klang pagi tadi,” katanya kepada pemberita.
Menurut beliau, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada jam 9 pagi Selasa untuk permohonan reman.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sinar Harian Online melaporkan seorang isteri maut ditikam suaminya dipercayai menggunakan senjata tajam di kediaman mereka di Kampung Paku, Gual Ipoh.
Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai akibat kecederaan parah di bahagian badan.
Suspek dikatakan telah menyerah diri di Balai Polis Gual Ipoh di sini kira-kira jam 1 petang.
Suspek dan mangsa sudah 14 tahun berkahwin dan mempunyai dua orang anak berusia 10 dan 12 tahun. Mastura merupakan isteri ketiga suspek dan bekerja sebagai tukang masak di Selayang, Selangor.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, HTM, untuk bedah siasat.
-Sinar Harian


