KUALA LUMPUR: Ikatan Guru Muslim Malaysia (iGuru) menggesa satu siasatan rapi dijalankan bagi mengesahkan perlakuan sumbang membabitkan beberapa guru seperti dilaporkan media, kelmarin.
Ia susulan penahanan 201 individu termasuk 17 penjawat awam dalam operasi bersepadu dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sebuah premis sauna di ibu negara berkaitan aktiviti dikaitkan dengan hubungan songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)
Presiden iGuru, Mohd Azizee Hasan, berkata pihaknya juga menggesa pihak Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan tegas kepada pegawai pendidikan yang terbabit dengan aktiviti itu.
“Kegiatan songsang LGBT ini tidak wajar dinormalisasikan dalam kalangan warga guru kerana ia bertentangan dengan nilai dan budaya ketimuran bahkan bertentangan dengan prinsip agama serta moral masyarakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, katanya, tingkah laku penjawat awam khususnya warga guru perlu dijaga supaya integriti dan kredibiliti sebagai kakitangan KPM dipelihara dan tidak mencemarkan profesion keguruan.
“Hal seperti ini tidak ada kompromi dan pihak KPM wajib mengambil tindakan tegas tatatertib terhadap guru -guru yang terbabit.
“i-Guru juga menyeru kepada guru-guru supaya sentiasa menjaga tingkah laku dan aku janji sebagai penjawat awam serta mematuhi etika profesion sebagai seorang guru yang dipandang tinggi oleh masyarakat,” katanya.
Menurutnya, i-Guru sentiasa komited untuk terus bekerjasama, menyokong pihak KPM dalam usaha mengekang budaya negatif di institusi pendidikan serta memastikan profesion perguruan kekal disanjung tinggi, berintegriti dan bermaruah.
Terdahulu, media melaporkan, semua individu yang ditahan dalam satu operasi mengejut sekitar jam 8 malam kelmarin it berusia antara 19 hingga 60 tahun.
Daripada 201 yang ditahan, 17 daripada mereka adalah penjawat awam membabitkan doktor bedah, Timbalan Pendakwa Raya, pegawai tadbir dan diplomatik (PTD), guru serta pegawai agensi penguatkuasaan.
BHonline-


