KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa pegawainya mengacukan senjata di kepala ahli perniagaan terkenal, Albert Tei, ketika melakukan tangkapan hari ini.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, beliau menegaskan bahawa operasi penahanan di kediaman individu berkenaan telah dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, tanpa sebarang penggunaan kekerasan yang melanggar protokol.
Menurut beliau, dakwaan bahawa pegawai SPRM mengacukan pistol ketika tangkapan adalah satu fitnah yang tidak berasas serta boleh menjejaskan integriti agensi tersebut.
Sehubungan itu, SPRM telah membuat satu laporan polis hari ini bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap pihak yang menyebarkan tuduhan tersebut.
“Laporan polis ini juga bertujuan memastikan tiada mana-mana pihak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan kes melibatkan individu berkenaan,” kata Azam dalam kenyataan itu.
Beliau turut mengingatkan bahawa tindakan menyebarkan dakwaan palsu sebegini bukan sahaja mencemar imej SPRM, malah berpotensi mengganggu proses siasatan yang sedang berjalan. – MYNEWSHUB


