PAPAR: Polis menafikan dakwaan tular kononnya berlaku kejadian terbaru membabitkan kematian seorang individu akibat terkena renjatan elektrik ketika memasang bendera parti di sekitar Melinsung, di sini.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penyebaran semula rakaman insiden itu dalam media sosial sejak malam tadi.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa hasil semakan mendapati kejadian itu bukan kes baharu, sebaliknya berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2022.
“Kejadian itu sebenarnya berlaku pada 2022, bukan kes berlaku hari ini seperti yang didakwa dalam hantaran tular berkenaan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, rakaman itu dipercayai dikongsi semula berikutan suasana kempen Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah yang menyaksikan pemasangan bendera dalam jumlah besar di kawasan awam, termasuk pada tiang elektrik.
“Mungkin kerana sekarang ramai sedang memasang bendera di merata tempat, rakaman lama itu mula ditularkan semula sebagai peringatan kepada orang ramai supaya berhati-hati,” katanya
Kamaruddin berkata, polis mengesahkan tiada laporan diterima hingga kini berhubung insiden baharu berkaitan renjatan elektrik ketika pemasangan bahan kempen.
Namun, beliau tetap menasihati petugas parti supaya mengutamakan keselamatan dan mengelakkan pemasangan berhampiran sumber tenaga elektrik.
“Setakat ini, tiada kejadian baharu. Jika ada, pasti kami menerima laporan. Yang tular itu hanyalah rakaman lama yang sudah pernah dilaporkan sebelum ini,” katanya.
BHonline-


