PUTRAJAYA: Beberapa menteri Kabinet menyuarakan pandangan supaya isu pengosongan dan perobohan rumah di Kampung Papan, Pandamaran ditangani dengan lebih tertib bagi mengelak ia menjadi polemik yang membimbangkan masyarakat.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata perkara terbabit dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun tidak secara mendalam.
“Hal ini ada disentuh pada mesyuarat Jemaah Menteri, ada dibincangkan tapi tidak mendalam dan kami difahamkan tanah berkenaan adalah milik persendirian dan masih (pemilik) yang sama.
“Ada keputusan mahkamah yang sedang dilaksanakan oleh pihak bailif dan memang ada dalam kalangan menteri yang minta supaya isu ini diuruskan dengan lebih tertib dan lebih baik supaya tidak menjadi isu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.
Polis Selangor mengesahkan 14 individu yang disyaki bertindak menghalang tugas penjawat awam dalam operasi pengosongan dan perobohan rumah di Kampung Papan, Pandamaran di Klang ditahan, semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar mengesahkan 11 lelaki dan tiga wanita ditahan, namun tiada tangkapan membabitkan penduduk kampung sebaliknya kesemua ditangkap daripada pertuduhan bukan kerajaan (NGO) yang menghalang tugas penjawat awam.
Namun, kesemuanya dibebaskan dengan jaminan polis setelah siasatan awal dilaksanakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dalam melaksanakan tugas.
Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 20 rumah di Kampung Papan, Pandamaran terbabit dalam kerja pengosongan yang dijalankan sejak Isnin bagi memberi laluan kepada projek pembangunan yang bakal dilaksanakan oleh pemaju.
Bagaimanapun, proses pengosongan rumah penduduk itu kecoh apabila beberapa wakil NGO dan penduduk membantah dan menghalang kerja perobohan.
BHonline-


