PUTRAJAYA: Kerajaan mengaktifkan semua jentera dan agensi berkaitan, termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), bagi membuat penyelarasan dan kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula semalam.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata mesyuarat Jemaah Menteri dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini, diberi taklimat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengenai kesiapsiagaan menghadapi MTL.
Beliau berkata, Jemaah Menteri dimaklumkan bahawa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenal pasti sebanyak 3,682 ‘hotspot’ banjir di seluruh negara.
Jabatan Mineral dan Geosains pula mengenal pasti 254 cerun kritikal, manakala 1,768 stesen hidrologi, 614 unit siren amaran banjir dan 285 rumah pam disiapkan bagi menghadapi MTL.
“Pam bergerak juga sudah ditambah untuk persiapan menghadapi banjir.
“Sejumlah empangan telah dikenal pasti dan sekiranya berlaku limpahan air ataupun air melebihi tahap kritikal, maka tindakan intervensi akan diambil untuk menjamin keselamatan, terutama penduduk yang tinggal tidak jauh dari lokasi empangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pascamesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, penambahbaikan sejumlah menara telekomunikasi turut dilaksana bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan baik sekiranya banjir berlaku.
Beliau berkata, penambahbaikan itu membabitkan beberapa peralatan yang mungkin berada di aras tanah, supaya tidak tenggelam sekiranya kawasan berkenaan dilanda banjir.
“Saya melihat sendiri kerja-kerja yang siap untuk kawasan tertentu seperti di Sabah yang berkemungkinan dinaiki air, dan persiapan ini nampaknya berjalan dengan baik,” katanya.
MTL bermula semalam dan diramalkan berterusan hingga Mac tahun depan.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan sebanyak lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku di beberapa kawasan di seluruh negara sepanjang tempoh MTL kali ini.
BHonline-


