Dua teras utama pendidikan tinggi iaitu kurikulum dan pedagogi perlu dipertingkatkan seiring dengan perubahan zaman serta keperluan baharu negara dan industri global.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, pembangunan kurikulum baharu perlu bersifat fleksibel, modular dan terbuka, serta menekankan nilai kemanusiaan dan kemahiran insaniah di samping kepakaran teknikal.
Beliau turut menekankan kepentingan memastikan kurikulum yang ‘future-proof’ agar lebih relevan untuk masa 10 tahun akan datang, namun tetap selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Negara.
“Kalau kita lihat dalam konteks pedagogi, ianya juga mencerminkan bagaimana kaedah baharu yang hendak kita sampaikan. Cara pengajaran kita, dengan adanya dunia digital dan AI pada hari ini, immersive learning sebagai contoh. Ini antara bidang-bidang baru yang memerlukan kecekapan.
“Kita kena ada pendekatan Kurikulum yang bersifat outcome-based. Paling mustahak ialah bagaimana membina sebuah kurikulum yang bersifat future-proof boleh digunakan untuk 10 tahun yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Khas Menteri Pendidikan Tinggi: Reka Bentuk Kurikulum Dan Penyampaian Inovatif (AKRI) 2025, di Putrajaya pada Rabu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu menggesa agar warga akademia mampu menyesuaikan diri dengan ‘revolusi pedagogi’ berasaskan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) yang menekankan keperluan menguasai kemahiran prompting dalam penggunaan ChatGPT bagi meningkatkan penyampaian ilmu.
“When you talk about curriculum, you kena bear in mind that you are producing something not only for the university but also for the nation,” katanya sambil menyeru agar inovasi akademik terus diperkasa demi kebaikan sistem pendidikan tinggi Malaysia.

Sementara itu, pemenang yang berkongsi kedudukan johan dalam kategori kurikulum program pengajian inovatif, Ts. Dr. Hamzah Asyrani Sulaiman, pensyarah kanan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berkata, reka bentuk kurikulum yang holistik, fleksibel dan relevan dengan keperluan industri masa kini mampu melahirkan graduan berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi dan kreatif.
Beliau turut menjelaskan pendekatan ‘Capstone Project’ yang merupakan satu elemen pembelajaran berasaskan industri membolehkan pelajar menerapkan ilmu dalam projek sebenar.
“Capstone ini menjadikan kurikulum kami fleksibel dan sentiasa relevan. Setiap semester, pelajar berinteraksi dengan industri, belajar teknologi terkini dan mengaplikasikannya dalam projek mereka.
“Melalui tiga peringkat capstone, Workshop 1, Team Project, dan Final Year Project. Pelajar didedahkan kepada kemahiran teknikal, kerja berpasukan, serta integrasi pengetahuan bagi membina identiti profesional yang kukuh,” terang Dr. Hamzah.
Difahamkan, kurikulum ini turut memberi kelebihan kepada graduan UTeM untuk bersaing dalam bidang teknologi maklumat mahupun industri kreatif digital.
Program ini juga mencatat kadar kebolehpasaran graduan (GE) melebihi 98%, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan bersepadu antara teori, praktikal dan keperluan industri.
Manakala menurut Dr. Dzeti Farhah Mohsin, pensyarah di jabatan kejuruteraan petroleum, Universiti Teknologi Petronas (UTP) menganggap kejayaan ini mengiktiraf Program Sarjana Kejuruteraan (Drilling Engineering) sebagai antara kurikulum terbaik di Malaysia yang menampilkan pendekatan kolaboratif bersama industri.

“Kami bekerjasama secara intensif dengan industri. Sebahagian latihan pelajar dijalankan di industri sebenar, dan projek akhir juga berasaskan masalah sebenar yang dihadapi syarikat.
“Jadi, apabila graduan tamat belajar, mereka sudah bersedia sepenuhnya untuk memasuki dunia pekerjaan,” kongsi Dr. Dzeti.
Kerjasama industri ini turut melibatkan penyediaan pengajar jemputan daripada industri, penajaan peralatan teknikal berkaitan penggerudian, serta penyertaan dalam pembangunan kurikulum supaya ia kekal relevan dengan teknologi terkini.
Bukan itu sahaja, dengan pendekatan berasaskan industri yang kukuh, program ini berjaya mencapai kadar kebolehpasaran graduan 95% dalam tempoh tiga bulan selepas tamat pengajian.
Setiap kohort terdiri daripada sekitar 15 hingga 20 pelajar, dan sehingga kini kira-kira 300 graduan telah dihasilkan sejak program ini dimulakan.


