Oleh Mynewshub
ARIZONA – Seorang lelaki dari Arizona, Amerika Syarikat yang sebelum ini dituduh meninggalkan anak perempuannya berusia dua tahun hingga mati di dalam kereta panas pada tahun lalu, ditemui mati beberapa jam sebelum dia dijadualkan menyerah diri untuk menjalani hukuman penjara.
Christopher Scholtes, 38, dilaporkan meninggal dunia di sebuah rumah di kawasan Phoenix pada 5 November 2025, dipercayai akibat bu**nuh diri, menurut laporan KOLD News 13 dan People.com.

Kes tragis itu bermula pada Julai 2024, apabila anaknya, Parker Scholtes, ditemui tidak sedarkan diri di dalam kenderaan keluarga yang dibiarkan di luar rumah mereka di bandar Marana.
Ketika kejadian, suhu di dalam kereta mencecah 43 darjah Celsius (109°F).
Siasatan mendapati Scholtes meninggalkan anaknya dalam kereta selama beberapa jam sementara dia berada di dalam rumah bermain permainan video.
Beberapa laporan awal juga menyebut dia turut menonton bahan lucah semasa kejadian, namun mahkamah kemudian menolak bukti carian internet tersebut daripada digunakan dalam perbicaraan.
Susulan insiden itu, Scholtes didakwa atas tuduhan membunuh darjah kedua dan penderaan kanak-kanak.
Dia mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman antara 20 hingga 30 tahun penjara dalam perjanjian pengakuan salah (plea deal).
Namun, sebelum sempat menyerah diri kepada pihak berkuasa, Scholtes ditemui mati di kediaman seorang kenalan.
Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dan kematiannya diklasifikasikan sebagai bunuh diri.
Kes ini mengundang perhatian umum di Amerika Syarikat kerana ia mencerminkan kecuaian melampau yang sering membawa maut kepada kanak-kanak, khususnya pada musim panas.
Menurut pihak keselamatan, lebih 30 kes kematian kanak-kanak akibat ditinggalkan dalam kereta panas direkodkan di seluruh AS setiap tahun.
Pihak keluarga Parker meminta agar masyarakat menjadikan tragedi ini sebagai pengajaran untuk tidak meninggalkan anak kecil bersendirian di dalam kenderaan walau untuk seketika. –MYNEWSHUB
Sumber: People.com, KOLD News 13, New York Post
Disiarkan oleh: Mynewshub
Tonton dan share di Telegram di sini


