KUALA SELANGOR: Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap rakan perempuan sekelasnya di sebuah sekolah menengah di Sabak Bernam, dua minggu lalu.
Pelajar Tingkatan Tiga itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Muhammad Ghulam pada prosiding tertutup.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azamuddin Razak, ketika ditemui pemberita selepas tamat prosiding itu berkata, remaja terbabit didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang juga berusia 15 tahun, bagi maksud seksual di sebuah kelas sekolah berkenaan dalam daerah Sabak Bernam kira-kira jam 9.30 pagi 13 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman denda, pampasan atau kos; perintah khidmat masyarakat; atau dihantar ke sekolah diluluskan seperti Sekolah Henry Gurney, jika sabit kesalahan.
Selain itu, mahkamah boleh mengenakan hukuman penjara, tertakluk kepada Seksyen 96(2) Akta Kanak-Kanak 2001, bagi tempoh tertentu.
Muhammad Azamuddin mencadangkan ikat jamin RM6,000 dengan mengambil kira keseriusan kes membabitkan pelajar sekolah sejak kebelakangan ini.
Peguam, Aina Suraya Ahmad Nor Hisham yang mewakili tertuduh, bagaimanapun memohon ikat jamin dikurangkan kerana anak guamnya perlu mendapatkan rawatan lanjut di hospital akibat kemalangan jalan raya.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 1 Disember depan untuk sebutan semula kes.
Pada 16 Oktober lalu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusoff Ahmad, dilaporkan berkata seorang remaja lelaki ditahan kerana disyaki melakukan gangguan seksual terhadap seorang remaja perempuan di sebuah sekolah di daerah itu pada 13 Oktober.
Beliau dipetik berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, suspek didakwa melakukan perbuatan berkenaan terhadap mangsa pada waktu rehat, sebelum ditahan pada hari sama untuk siasatan lanjut.
BHonline–


