KUALA LUMPUR: Seorang lagi mangsa yang terbabit dalam kemalangan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang, pada 27 September lalu, meninggal dunia, hari ini.
Mangsa, Mohd Hafizi Anuar, 48, dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 11 pagi tadi di Hospital Kajang.
Adik mangsa, Mohd Haswad Anuar, 42, berkata abangnya sebelum ini menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Kajang selepas kejadian itu.
“Saya sahkan abang saya sudah meninggal dunia selepas menerima rawatan. Allahyarham meninggalkan dua cahaya mata.
“Jenazahnya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Raja Uda, Klang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof mengesahkan maklumat itu.
“Mangsa berusia 48 tahun adalah penjawat awam disahkan meninggal dunia pada jam 11 pagi, hari ini. Jenazah mangsa diserahkan kepada keluarga selepas proses bedah siasat dijalankan.
“Ini menjadikan dua mangsa maut dalam kejadian ini. Siasatan berhubung kemalangan terbabit diteruskan,” katanya.
Mohd Hafizi adalah kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Shah Alam, adalah penumpang dalam Nissan X-Trail.
Ketika kejadian jam 10.50 pagi, Mohd Hafizi dan seorang lagi kakitangan Cawangan Kejuruteraan Mekanikal JKR baru sahaja selesai tugasan di Penjara Kajang dan dalam perjalanan pulang ke pejabat di Shah Alam.
Dalam kejadian itu, seorang bayi maut, manakala lapan individu lain cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang selepas dirempuh sebuah lori di kawasan berkenaan.
Kemalangan membabitkan empat kenderaan iaitu Nissan X-Trail milik Jabatan Kerja Raya (JKR) Shah Alam, Proton X70, Honda City dan lori tiga tan yang membawa besi buruk.
Berikutan itu, pemandu lori berusia 42 tahun telah ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana kesalahan memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
BHonline-


