KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengarahkan pegawainya bertemu atau menghubungi wakil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) secepat mungkin bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung dakwaan pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain skuad Harimau Malaya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata ia bagi menentukan sama ada siasatan terhadap kesalahan itu boleh dijalankan di bawah bidang kuasa SPRM atau sebaliknya.
“Saya akan menghantar pegawai secepat mungkin yang diketuai oleh Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus, untuk berjumpa atau berkomunikasi dengan pihak FIFA.
“Ia bagi SPRM mengetahui apa isu sebenarnya. Sekiranya mendapati ada berlaku kesalahan jenayah di bawah bidang kuasa kami, SPRM akan menjalankan siasatan.
“Oleh kerana perkara ini timbul dalam media dan saya lihat ini satu perkara membabitkan kepentingan awam, walaupun tidak ada laporan, SPRM melihatnya dalam kenyataan media yang dikeluarkan dalam public domain atau ruang lingkup awam.
“Bila menjadi public domain, kita di SPRM tidak menunggu sebarang aduan rasmi dibuat, sebaliknya kita boleh mengambil tindakan kerana masyarakat sudah mengetahui perkara ini,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Jawatankuasa Tatatertib FIFA malam tadi mengumumkan tindakan terhadap FAM bersama tujuh pemain kebangsaan, selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Dalam satu kenyataan, FIFA mendedahkan FAM didapati menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.
Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui serta Hector Alejandro Hevel Serrano.
Mereka beraksi ketika perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu, yang kemudian mengundang aduan rasmi kepada FIFA berhubung status kelayakan beberapa pemain berkenaan.
Hasil siasatan, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan FAM perlu membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta).
Setiap pemain dikenakan denda CHF2,000 (RM10,560) dan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan, berkuat kuasa serta-merta.
FIFA turut merujuk isu kelayakan pemain terbabit untuk mewakili Malaysia kepada Tribunal Bolasepak FIFA bagi pertimbangan lanjut.
FAM dan semua pemain berkenaan sudah dimaklumkan mengenai keputusan itu hari ini, dengan hukuman berkenaan masih boleh dirayu kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA.
April lalu, badan induk bola sepak negara pernah ‘digegar’ SPRM berhubung isu surat layang selepas tular di media sosial dalam bentuk e-mel yang membangkitkan isu kepimpinan dan pengurusan FAM.
Empat perkara utama yang dibangkitkan ialah penyalahgunaan kuasa oleh Setiausaha Agung FAM, gaji serta manfaat staf, isu membabitkan skuad Harimau Malaya dan projek Pusat Latihan Kebangsaan.
Azam ketika itu dipetik sebagai berkata, SPRM menjalankan siasatan berdasarkan aduan orang ramai.
Beberapa bukti seperti fail turut diambil pegawai SPRM dalam usaha untuk melengkapkan siasatan berkaitan dakwaan membabitkan salah laku di FAM.
BHonline-


