Kuala Lumpur: Harimau belang (Panthera Tigris Jacksoni) yang ditemui mati dalam sebuah kenderaan dinaiki tiga individu di Felda Tenggaroh, Mersing di Johor dipercayai untuk diperdagangkan dalam pasaran gelap.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, nilai harimau itu dianggarkan sekitar RM250,000 hingga RM300,000.
Menurutnya, Jabatan Perhilitan sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengenal pasti rangkaian sindiket terbabit susulan tangkapan tiga suspek berkenaan.
“Kita percaya kegiatan ini membabitkan sindiket pemerdagangan hidupan liar. Setiap anggota badan spesies itu mempunyai nilai di pasaran gelap.
“Operasi membanteras pemburuan haram sememangnya menjadi fokus utama dalam usaha melindungi Harimau Malaya serta hidupan liar terancam yang lain,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, populasi harimau belang pada masa ini hanya direkodkan di kawasan hutan simpan dan kawasan perlindungan yang terletak di lapan negeri utama yang dikenal pasti sebagai negeri rayauan binatang liar itu.
Katanya, negeri itu ialah Perak, Pahang, Johor, Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Ini menunjukkan habitat semula jadi harimau kini sangat terhad dan tertumpu kepada kawasan perlindungan yang masih mempunyai ekosistem hutan yang sesuai untuk kelangsungan hidup spesies ini,” katanya.
Selasa lalu, cubaan tiga lelaki menyimpan bangkai seekor harimau belang berjaya dipatahkan dalam Operasi Bersepadu Khazanah di Felda Tenggaroh, Mersing yang dijalankan Unit Risikan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Bukit Aman bersama Jabatan Perhilitan Johor.
Komander Pasukan Simpanan Persekutuan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof dilaporkan berkata, penahanan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza menemukan bangkai seekor harimau belang yang dipercayai diburu secara haram.
Susulan itu, tiga lelaki berusia 28 hingga 49 tahun ditahan selepas didapati gagal mengemukakan sebarang permit khas untuk memiliki atau menyimpan spesies dilindungi sepenuhnya itu.
-Harian Metro
