KOTA KINABALU: Ketua Warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Azhari Abd Sagap, memberitahu Mahkamah Koroner di sini, hari ini, bahawa Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir menangis serta menafikan mencuri apa-apa, sebelum kali terakhir dilihat menuju ke tandas.
Saksi kelapan pada inkues kes kematian pelajar Tingkatan Satu itu berkata, beliau telah menerima salinan imbasan pengakuan bertulis daripada lima pelajar berhubung perkara berkenaan.
Azhari, 31, turut memaklumkan bahawa dokumen berkenaan ditulis selepas beliau mengarahkan warden untuk menyiasat perkara itu pada 16 Julai lalu, susulan Zara Qairina dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE).
“Pada malam itu (sebelum Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri), seorang pelajar Tingkatan Satu membuat aduan kepada ketua dorm bahawa dia kehilangan barang kepunyaannya.
“Selepas itu, Zara dipanggil oleh ketua dorm berkenaan serta ditanya sama ada dia mencuri barang terbabit.
“Dia menafikannya dan bersumpah ‘wallahi’,” katanya pada prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Azhari berkata, pelajar-pelajar turut menyelongkar lokar serta beg Zara Qairina sebelum dikatakan menemui pin Jalur Gemilang milik ketua dorm itu.
Bagaimanapun, Zara Qairina sekali lagi menafikan mengambil barang berkenaan.
“Selepas itu, Zara meninggalkan bilik itu sambil menangis dan menjerit: ‘Aku tidak mencuri bah, bodoh’. Saya dimaklumkan mengenai perkara ini oleh seorang pelajar Tingkatan Satu.
“Dia keluar dari bilik itu sambil menangis dan pergi ke tandas. Itu dikatakan kali terakhir pelajar-pelajar melihat dia,” katanya.
BHonline-


