SHAH ALAM: Pihak pendakwaan hari ini menyerahkan dokumen tambahan kepada pasukan pembelaan mewakili anggota polis yang didakwa membunuh graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah tahun lalu.
Peguam Aida Jaafar Mad Ariff yang mewakili tertuduh, Lans Koperal Muhammad Alif Morjani, 27, berkata dokumen tambahan yang dikemukakan hari ini termasuk laporan polis dan berkaitan barang kes yang ditemui di lokasi kejadian.
“Laporan berkaitan kes termasuk semua barang kes seperti telefon bimbit, kunci dan dashcam (kamera papan pemuka) yang ditemui di tempat kejadian.
“Semua dokumen sudah lengkap dan apabila semua setuju, kita akan maklum kepada mahkamah sama ada untuk memfailkan representasi mahupun tidak pada 28 Oktober ini,” katanya ditemui selepas prosiding di Kompleks Mahkamah Shah Alam di sini, hari ini.
Terdahulu, dokumen tambahan terbabit dikemukakan semasa prosiding di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nadia Othman.
Selain Aida, tertuduh diwakili peguam Nur Aida Md Zainuddin manakala pihak pendakwaan, Timbalan Pendakwa Raya, Maizatul Munirah Abdul Rahman.
Mahkamah kemudian menetapkan 28 Oktober depan untuk sebutan semula kes.
Pada 12 Jun lalu, Muhammad Alif mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Nur Farah Kartini, 25, yang mayatnya ditemui dalam ladang kelapa sawit di Ladang SKC Kledang, Hulu Bernam, Hulu Selangor.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian wanita itu antara 9 pagi, 10 Julai hingga 6 petang, 15 Julai 2024.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Nur Farah Kartini dilaporkan hilang sejak 10 Julai 2024 selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.
Mayatnya kemudian ditemukan polis di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira 6 petang.
Penemuan itu kemudian membawa kepada penahanan lelaki yang juga anggota polis bertugas di Perak bagi membantu siasatan.
BHonline-
