KUALA LUMPUR, 1 SEPTEMBER 2025 – Malam Merdeka tahun ini diraikan dengan cara yang cukup istimewa apabila kugiran retro moden kesayangan rakyat Malaysia, MASDO, menutup bulan Ogos dengan konsert ulang tahun bersejarah mereka, “Al-Kisah Kugiran MASDO 10 Tahun”, di Zepp Kuala Lumpur.
Dianjurkan oleh penganjur acara ternama Hitman Solutions bersama Kugiran Masdo, konsert ini menjadi sambutan penuh warna-warni yang menghimpunkan ribuan peminat, mengimbau kembali satu dekad perjalanan muzik MASDO yang penuh dengan kenangan dan detik suka duka perjalanan mereka.
Malam tersebut bukan sahaja sebagai penghormatan kepada perjalanan 10 tahun MASDO, tetapi juga sebagai simbolik perayaan Hari Kemerdekaan Malaysia melalui penyatuan kuasa muzik.
Dewan konsert bergema dengan sorakan apabila lampu mula menyala. Sebelum mereka membuka tirai dengan lagu pembukaan, “Teruna & Dara”, sebuah paparan visual perjalanan MASDO sejak 2015 dimainkan di layar besar, lantas membangkitkan rasa nostalgia.

Sejak detik itu, tenaga konsert tidak pernah surut. Peminat menyanyi bersama lagu kegemaran seperti “Janji Manis”, “Dinda” dan “Ratu Hati”; dengan gema suara memenuhi seluruh dewan.
Malam tersebut menjadi lebih bermakna dengan barisan artis jemputan hebat, masing-masing membawa magis tersendiri ke pentas. Tetamu khas Heidi Moru tampil bersama MASDO dengan persembahan bertenaga “Pujaanku”, memberikan nafas baharu yang segar kepada lagu hit tersebut.
Penyanyi rock ternama Noh Salleh kemudian mencuri perhatian dengan “Inilah Jalannya” sebelum kembali bersama kumpulan Hujan untuk menyampaikan persembahan penuh bertenaga “Janji Manis”.
Suasana mencapai kemuncak apabila Hujan menggegarkan pentas dengan lagu ikonik mereka “Aku Scandal”, membuatkan penonton bersorak dan bernyanyi bersama.
Menambah lagi warna malam itu, Nisa di biola dan Cakam di kibod menyentuh emosi dengan “Ratu Hati”, manakala Fizan dari Bittersweet memukau dengan “Nearly Near You”. Setiap artis jemputan hadir dengan sentuhan tersendiri, menjadikan sambutan ini benar-benar luar biasa!
Susunan khas lagu-lagu ikonik MASDO termasuk “Bunga” dan “Berduka-Lara” menambahkan lagi keintiman dan kekuatan malam itu, menyentuh emosi para penonton. Ketika nota terakhir bergema, Zepp Kuala Lumpur bertukar menjadi lautan bintang apabila ribuan peminat mengangkat telefon bimbit mereka tinggi-tinggi; satu pemandangan yang melambangkan perjalanan 10 tahun MASDO serta semangat Hari Kemerdekaan.

Cheman, Pengurus MASDO, mewakili kumpulan itu meluahkan rasa syukur dengan berkata:
“Malam ini bukan sekadar sambutan untuk kami sebagai sebuah kugiran, tetapi untuk seluruh keluarga MASDO – terutamanya para peminat yang sentiasa setia bersama kami sepanjang perjalanan ini. Kami bermula hanya dengan sebuah impian kecil, dan malam ini kami menyaksikan ribuan suara menyanyi setiap lirik bersama kami. Itulah hadiah terindah yang pernah MASDO terima.
Terima kasih kerana menghidupkan 10 tahun ini bersama-sama kami, dan kerana terus memastikan muzik retro moden kekal segar dan relevan hingga ke hari ini.”
Sambutan daripada penonton begitu luar biasa, dengan peminat menari, bersorak, dan menyanyi seirama dari lagu pertama sehingga persembahan penutup. Ada yang menggambarkan konsert ini sebagai “seakan perjalanan ke zaman kegemilangan muzik retro”, manakala yang lain menobatkannya sebagai “konsert MASDO terbaik setakat ini.”
Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Solutions, Encik Rohit Rampal, turut memuji kejayaan malam tersebut: “Konsert malam ini membuktikan bahawa muzik retro moden bukan sekadar nostalgia – ia hidup, berkembang dan terus gemilang.
MASDO telah membina legasi mereka sendiri, dan kami di Hitman Solutions berbangga menjadi sebahagian daripada perjalanan ini. Malam ini menandakan detik penting dalam sejarah, bukan sahaja untuk MASDO, tetapi juga untuk industri muzik Malaysia secara keseluruhan.”

“Al-Kisah Kugiran MASDO 10 Tahun” bukan sekadar sebuah konsert – ia adalah sebuah perayaan muzik, persahabatan dan kasih sayang yang mengikat MASDO bersama peminat mereka.
Bertepatan dengan Hari Kemerdekaan Malaysia, malam penuh nostalgia di Zepp Kuala Lumpur itu menjadi bukti bahawa selepas 10 tahun, MASDO kekal kuat, segar, dan relevan. Mereka terus mengukir laluan sebagai kugiran retro moden nombor satu Malaysia.
Hitman Solutions dan Kugiran MASDO ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan penaja dan rakan kerjasama yang menjayakan malam istimewa ini. Konsert ini dianjurkan bersama Warner Music Malaysia, dengan sokongan Tourism Malaysia, serta diserikan dengan kerjasama media termasuk Astro Gempak sebagai Rakan Media, dan Sinar FM, Era FM serta Gegar FM sebagai Rakan Radio.
