KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin, 22, yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu di Semenyih, Selangor, digali semula.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan ibu Syamsul Haris iaitu Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45.
Katanya, proses menggali semula kubur Syamsul Haris bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan.
Dalam prosiding itu, Bhupindar Singh mengeluarkan tiga perintah yang perlu dipatuhi pihak responden.
* Perintah untuk menggali keluar semula jasad Syamsul Haris Shamsudin, yang ditanam di Tanah Perkuburan Islam Rinching Ulu bagi menjalankan bedah siasat kedua di bawah penyeliaan responden pertama iaitu Ketua Polis Negara atau pegawainya dan boleh mendapatkan bantuan mana-mana pihak lain yang berkenaan jika difikirkan perlu.
* Suatu perintah bagi seorang pakar forensik Hospital Kuala Lumpur iaitu patologi forensik untuk melakukan post-mortem (bedah siasat) semula ke atas jasad Syamsul Haris dalam tempoh 14 hari selepas jasad itu dikeluarkan dengan kehadiran pakar forensik Datuk Seri Dr Bhupinder Singh dan peguam lantikan keluarga, Datuk Naran Singh atau wakil daripada Tetuan Naran Singh & Co.
* Suatu perintah bagi pakar forensik yang menjalankan post-mortem itu untuk mengeluarkan laporan dalam tempoh munasabah dari tarikh post-mortem dijalankan dan satu salinan laporan itu hendaklah diserahkan kepada peguam pemohon iaitu Tetuan Naran Singh & Co.
Ummu Haiman yang diwakili Peguam Datuk Naran Singh Ara Singh dalam permohonan notis usulnya sebelum ini, menamakan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar masing-masing responden pertama dan kedua.
Berdasarkan notis usul itu, Ummu Haiman memohon supaya pendengaran permohonannya disegerakan melalui perakuan peguamnya kerana percaya terdapat unsur jenayah dalam kematian anaknya apabila menerima pelbagai percanggahan pada punca kematian.
Dia memohon perintah bagi mengarahkan pakar forensik Hospital Kuala Lumpur menjalankan satu bedah siasat semula ke atas jasad anaknya dalam tempoh 14 hari selepas ia dikeluarkan.
Bedah siasat itu juga hendaklah dijalankan dengan kehadiran Pakar Forensik dan turut dihadiri peguam atau wakil daripada firma guaman Tetuan Naran Singh & Co.
Mohon laporan bedah siasat selepas sebulan
Wanita itu juga memohon perintah bagi mengarahkan pakar forensik yang menjalankan bedah siasat mengeluarkan laporan dalam tempoh satu bulan dari tarikh ia dijalankan dan satu salinan laporan diberikan kepada peguamnya.
Dia turut memohon, perintah yang mengarahkan Ketua Pengarah Bahagian Siasatan jenayah untuk melantik satu pasukan baharu dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk mengambil alih tugas seperti yang dilakukan di dalam kes kematian pelajar Tingkatan Satu Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Ummu Haiman juga memohon perintah bagi mengarahkan Peguam Negara menjalankan satu Inkues bagi menyiasat punca kematian anaknya.
Sebelum ini, media melaporkan, Syamsul Haris meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu, 29 Julai lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui jawatankuasa siasatan kematian pegawai kadet PALAPES UTM mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam insiden berkenaan.
Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet, menetapkan hari ini untuk keputusan selepas mendengar hujahan daripada tiga pihak iaitu Ketua Polis Negara dan Peguam Negara sebagai responden pertama dan kedua serta ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun selaku pemohon.
Bhupindar Singh berkata, penetapan tarikh itu dilakukan berikutan mahkamah memerlukan masa untuk meneliti afidavit yang baru diserahkan oleh pihak pemohon.
Hadir pada prosiding semalam Peguam Kanan Persekutuan, Nurul Huda Mohd Salehuddin yang mewakili Ketua Polis Negara; Pengarah Pendakwaan Selangor, Datin Kalmizah Salleh mewakili Peguam Negara dan peguam Datuk Naran Singh mewakili Ummu Haiman Bee.
Ummu Haiman Bee, 45, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah semalam mengharapkan permohonan untuk menggali semula kubur anaknya itu dibenarkan bagi tujuan bedah siasat kali kedua, untuk mengetahui punca sebenar kematian anak lelakinya.
Pada 19 Ogos lalu, Ummu Haiman Bee mengemukakan permohonan itu antaranya bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan serta mencadangkan untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat kematian anaknya.
BHonline-


